suria

Selepas Tewas Ditangan Man Utd, Arsenal Berazam Dapatkan Benzema Atau Llorente

Karim Benzema
Karim Benzema
Karim Benzema

ARSENAL berazam untuk memperkukuhkan barisan serangannya seberapa segera yang boleh selepas menyedari yang penyerang tunggal mereka Olivier Giroud semakin keletihan dan tertekan dengan bebanan yang dilonggokkan ke atas bahunya untuk menjaringkan gol untuk kelab tersebut.

Akhbar The Mail melaporkan, Karim Benzema kini menjadi pilihan utama Arsenal selepas risikan mendapati penyerang Perancis itu bersedia untuk menyahut cabaran baru di luar Real Madrid.

Pada masa yang sama, Arsene Wenger juga sanggup mencuba sekali lagi untuk memikat penyerang antarabangsa Sepanyol, Fernando Llorente dengan tawaran £15 juta kepada kelabnya sekarang Juventus.

Juventus buat masa ini masih enggan melepaskan pemain mereka itu walaupun musim ini dia hanya sekadar menjadi pemain simpanan pada kebanyakan perlawanan liga.

Real pula dilaporkan bersedia berpisah dengan Benzema seandainya Arsenal sanggup membayar £27.5 juta.

Tetapi pada masa yang sama Benzema, 25, merupakan pemain pilihan utama Carlo Ancelotti sejak musim baru bermula dan pemain itu merupakan salah seorang penjaring gol dalam kemenangan 5-1 ke atas Real Sociedad Sabtu lalu.

Yang menjadikannya bahan spekulasi ialah kerana kontraknya masih belum diperbaharui walaupun hanya berbaki 18 bulan lagi.

Jika Real tidak bersedia memperbaharui kontraknya yang kini bernilai £150,000 seminggu, mereka tidak mempunyai pilihan melainkan menjualnya kepada pembida tertinggi.

Jika tidak Benzema akan menjadi pemain bebas dan perpindahannya ke kelab lain adalah perpindahan percuma tanpa Real dapat mengutip sebarang keuntungan.

FAKTA TENTANG KARIM BENZEMA:

Real Madrid (2009-kini): 199 perlawanan, 95 gol.

Lyon (2004-09): 148 perlawanan, 66 gol.

Perancis (2007-kini): 62 perlawanan, 17 gol

Namun jika Arsenal tidak bertindak segera, mereka mungkin akan kehilangan Benzema kerana ejennya, Karim Dzajiri telahpun mengadakan pertemuan dengan juara Turki, Galatasaray berhubung kemungkinan membeli pemain itu Januari ini apabila pintu perpindahan di Eropah dibuka semula.

Pertembungan antara Arsenal dengan Manchester United Ahad lalu yang menyaksikan pendahulu liga itu tewas 0-1 membuktikan yang mereka terlalu bergantung harap kepada Giroud untuk menjaringkan gol.

Mereka perlu dengan segera mencari seorang lagi penyerang tradisional untuk meringankan bebanan Giroud. Mendapatkan seorang lagi penyerang berbangsa Perancis adalah gandingan yang paling ideal buat Arsenal.

Seandaianya percubaan mereka untuk mendapatkan Benzema gagal, Arsenal berharap mereka boleh memujuk Juventus untuk menjual Fernando Llorente, 28, sebagai ganti,

FAKTA TENTANG FERNANDO LLORENTE

Juventus (2013-kini): 13 perlawanan, 4 gol.

Athletic Bilbao (2005-13): 333 perlawanan, 118 gol.

Sepanyol (2008-kini): 22 perlawanan, 7 gol.

Sejak menyertai Juventus, Llorente berhadapan dengan kesukaran untuk menyesuaikan dirinya dengan regim latihan pengurus, Antonio Conte dan dengan itu sentiasa menjadi pemain yang memanaskan bangku simpanan.

Namun Juventus menegaskan yang kesabaran mereka ke atas Llorente untuk menyesuaikan dirinya dengan corak permainan di Liga Itali akan membuahkan hasil kerana penyerang itu sudah mula menemui semula sentuhan ajaibnya di depan pintu gol.

Tetapi pada masa yang sama mereka juga perlu mempertimbangkan mana-mana tawaran yang lumayan khususnya jika ada kelab yang bersedia untuk membayar sehingga £15 juta ke atas seorang pemain yang akan mencecah umur 29 tahun menjelang musim depan.

Artikel Lain