suria

Khairy Nyata Kesediaan Jumpa FAM

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyatakan persetujuan untuk bersemuka dengan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menyelesaikan kemelut antaranya dan badan itu.

"Saya tidak ada masalah untuk berbincang," katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, Isnin.

Beliau ditanya sama ada bersedia untuk bersemuka dengan FAM bagi menyelesaikan isu berbangkit susulan saranan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM Datuk Takiyuddin Hassan pada Ahad, yang berkata Khairy perlu mengambil pendekatan secara bersemuka bukan menegur badan induk bola sepak tersebut secara terbuka.

Sejak kebelakangan ini Khairy lantang mengkritik FAM antaranya bersabit jualan tiket final Piala Malaysia dan kemuncaknya teguran terhadap Jawatankuasa Keselamatan FAM susulan penemuan pistol di dalam tandas di Stadium Shah Alam semasa final Piala Malaysia antara Kelantan dan Pahang pada 3 Nov lalu.

Khairy sebelum ini dipetik berkata segala kritikan beliau selama ini adalah demi kemajuan bola sepak tanah air dan bukan bermaksud untuk membalas dendam kepada kepemimpinan FAM.- BERNAMA

Artikel Lain