suria

Keputusan Mahkamah Beri Nafas Baharu Kepada MTA

KUALA LUMPUR: Hampir tiga tahun bergolak, akhirnya keputusan mahkamah sekali lagi berpihak kepada Persatuan Taekwando Malaysia (MTA/WTA) selepas rayuan yang dibuat oleh mantan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan bekas Pesuruhjaya Sukan, Nik Mahmud Nik Yusof ditolak.

Pada tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Rohana Yusof (4 April 2012) telah memutuskan bahawa pembatalan MTA sebelum ini tidak sah dan mengembalikan status tersebut yang menjadikan MTA sebagai badan induk sukan taekwando Malaysia.

Namun pihak Pesuruhjaya Sukan ketika itu tetap tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan sekali lagi memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan untuk menolak rayuan tersebut pada 16 Mei lalu.

Keputusan tersebut mengesahkan bahawa MTA adalah badan induk yang sah untuk menguruskan sukan taekwando negara.

Bagi mengukuhkan lagi keputusan ini, Pesuruhjaya Sukan baharu, Ahmad Shapawi turut mengesahkan bahawa MTA adalah sebuah badan yang sah di bawah pendaftaran pejabatnya.

Setiausaha Agung MTA, Eddie Tuan berkata, keputusan kali kedua ini memberi satu berita yang cukup positif bagi sukan taekwando negara memandangkan isu ini sudah lama berlarutan.

"Saya bagi pihak MTA berharap selepas ini tidak lagi timbul sebarang isu dan berharap pihak-pihak berkenaan turut membantu kami dalam mengembangkan lagi sukan taekwando negara.

"Apa yang kami tunggu sekarang ialah pengesahan rasmi daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM)," jelasnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu juga, Eddie berharap ahli-ahli MTA yang lain sama-sama berganding bahu memberi yang terbaik kepada badan induk ini.

"Mana-mana yang belum menjadi ahli MTA, kami berbesar hati dan pintu sentiasa terbuka untuk mereka," tambahnya.

Sebagai rekod, kemelut MTA bermula apabila Pesuruhjaya Sukan membatalkan pendaftaran persatuan itu pada Februari 2010 kerana didakwa menghalang pembangunan sukan taekwondo di negara ini.

Sejak MTA dibubarkan, Taekwando Malaysia (TM) mengambil alih tampuk pimpinan sukan taekwando negara.

MTA kemudian membuat Rayuan terhadap keputusan itu kepada Menteri Belia dan Sukan selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997.

Bagaimanapun, menteri berkenaan mengekalkan keputusan Pesuruhjaya Sukan.

Pada Julai 2010, MTA menerusi bekas presidennya Raja Taharuddin Raja Nong Chik dan Nur Ekmal, MTA telah memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan mendapatkan perintah ‘certiorari’ bagi membatalkan kedua-dua keputusan Menteri Belia dan Sukan dan Pesuruhjaya Sukan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain