suria

Piala Malaysia 2013: Sambutan Rasmi Kejayaan Tok Gajah Disambut Sabtu

KUANTAN: Sambutan rasmi kejayaan skuad Tok Gajah menjuarai Piala Malaysia 2013 selepas 21 tahun akan bermula di sekitar bandar sebelum acara kemuncak di Stadium Darul Makmur di sini Sabtu.

Piala berprestij itu akan diarak menaiki bas tanpa bumbung di sekitar bandar Kuantan mulai pukul 5.15 petang.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) Fuzzeimi Ibrahim berkata semua pemain kendalian jurulatih Dollah Salleh, kecuali Azamuddin Md Akil dan Razman Roslan yang terlibat dengan latihan skuad kebangsaan, akan menyertai perarakan itu.

"Dua pemain import Matias Ruben Conti dan Damion Delano Stewart akan turut serta, perarakan berkenaan dijadual bermula di Padang Kemunting ke Jalan Mahkota, Jalan Teluk Sisek, Jalan Beserah, Jalan Gambut, Jalan Sekilau, Jalan Tun Ismail.

"Kemudian perarakan akan terus ke Jalan Haji Ahmad, Jalan Lim Hoe Lek, sebelum memasuki ke pusat membeli-belah Capital Mall dan seterusnya ke Stadium Darul Makmur," katanya kepada Bernama di sini Jumaat.

Di Stadium Darul Makmur, para penyokong skuad Tok Gajah akan turut dihiburkan dengan nyanyian artis tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza, penyanyi Indonesia Datuk Rossa dan barisan selebriti Raja Lawak seperti Johan, Jepp Sepahtu, Rahim R2 dan Kumpulan Shiro serta pertunjukan bunga api dan cabutan bertuah.

Pada perlawanan akhir Ahad lepas, Pahang menewaskan juara bertahan Kelantan 1-0. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain