suria

T-Team Kini Diletak Di Bawah PBSNT

KUALA TERENGGANU: Pasukan negeri berstatus kelab, T-Team kini diletakkan di bawah pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), sama dengan pasukan Terengganu.

Sebelum ini, kelab T-Team berada di bawah pengurusan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (PBSDKT).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat berkata selepas musim Liga Malaysia tahun ini, pengurusan kedua-dua pasukan Terengganu itu diuruskan oleh PBSNT di bawah kepimpinan Datuk Wan Ahmad Wan Abdul Hamid.

Selaku penaja utama kedua-dua pasukan berkenaan, beliau berkata kerajaan negeri tidak akan campur tangan dalam urusan pemilihan jurulatih dan pemain dalam persediaan menghadapi kempen Liga Super musim depan.

"Kerajaan negeri telah memberi mandat kepada kedua-dua pasukan itu memilih pemain dan jurulatih terbaik bagi mengembalikan semula kehebatan Terengganu dalam sukan bola sepak," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis penyampaian sumbangan RM10,000 masing-masing kepada dua keluarga pelumba berbasikal negeri yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya ketika mengikuti sesi latihan.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said di pejabatnya di Wisma Darul Iman di sini Rabu.

Rozi berkata kerajaan negeri menyerah tanggungjawab sepenuhnya kepada PBSNT untuk memilih pemain dan jurulatih bagi kedua-dua pasukan itu.

"Kita tidak mahu masih ada suara sumbang selepas ini," katanya.

Kerajaan negeri memberi peruntukan RM5 juta masing-masing kepada skuad Terengganu dan T-Team sebagai perbelanjaan pengurusan musim ini.

Rozi berkata kerajaan negeri masih belum membuat keputusan mengenai peruntukan untuk musim baharu tetapi menjelaskan bahawa jumlah tersebut tidak kurang daripada apa yang diberikan untuk musim ini.

Dalam kempen Liga Super musim ini, pasukan Terengganu menduduki tangga kesembilan manakala T-Team di tangga ke-10. - BERNAMA

Artikel Lain