suria

'Piya' Sah Kekal Bersama 'The Red Warriors' Musim Depan

KOTA BARU: Spekulasi mengenai kononnya kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai '"Piya' akan berhijrah akhirnya terjawab apabila pemain itu mengesahkan akan tetap bersama 'The Red Warriors' pada musim depan.

Walaupun mengakui dilamar tujuh pasukan Liga Super namun pemain kebangsaan itu berkata hatinya masih lagi bersama Kelantan untuk musim baharu ini.

"Walaupun beberapa rakan yang lain telah mengesahkan mewakili pasukan lain tetapi saya masih setia dengan Kelantan lagi. Saya bagaimanapun masih belum dipanggil untuk menandatangani kontrak yang baharu.

"Majlis tandatangan kontrak baharu ini mungkin dilakukan dalam masa terdekat atau selepas kami semua pulang menunaikan umrah pada 17 November ini," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Anugerah Tokoh Anak Muda Kelate di Kota Darul Naim di sini, Khamis.

Pada majlis tersebut, beliau menerima anugerah Tokoh Sukan yang disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob. Turut hadir, bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menerima Anugerah Khas Ikon Anak Muda Kelate.

Lapan pemain Kelantan yang disahkan berhijrah ialah Mohd Noor Farhan Muhammad, Daudsu Jamaluddin, Azizi Mat Rose, Syakir Shaari, Indra Putra Mahyuddin, S. Subramaniam, Rizal Fahmi Rosid dan Iwan Solahudin.

Mengulas perkara itu, Mohd Badhri berkata, faktor utama untuk kekal bersama pasukan itu adalah kerana mahu berbakti dan menaikkan nama negeri sendiri.

"Bermain di tempat orang dan tempat kita berbeza, di sini kita mempunyai penyokong yang amat kuat dan ia membangkitkan semangat 'darah' kita sebagai anak Kelantan.

"Bermain di tempat lain mungkin ada sesetengah orang akan kata tak apa bukan negeri kita tetapi kalau bermain dengan negeri kita semangat lebih lagi ditambah dengan sokongan padu penyokong," katanya.

Mengulas mengenai penghijrahan beberapa rakannya pada musim depan, beliau mengakui berasa agak kecewa kerana mereka telah membentuk keserasian yang baik sejak bebeberapa tahun lalu.

Beliau bagaimanapun yakin pasukan Kelantan masih mampu mencipta kejayaan walaupun tanpa tonggak utama itu.

"Mungkin pasukan untuk 2014 lebih baik sebab pemain ada kelebihan masing-masing. Mereka berhijrah kerana majikan memberikan tawaran yang lebih baik jadi tidak ada siapa yang boleh halang," katanya.

Musim ini, Kelantan adalah juara Piala FA dan mengakhiri musim dengan menjadi naib juara Piala Malaysia selepas tewas 1-0 kepada Pahang pada final di Stadium Shah Alam, Ahad lepas. - BERNAMA

Artikel Lain