suria

MSN Kesal Tindakan Hup Wei Enggan Ke Sukan Sea

Zolkples Embong
Zolkples Embong
Zolkples Embong

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong kesal dengan tindakan atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei yang enggan beraksi pada Sukan SEA di Myanmar, bulan depan.

"Jika benar Hup Wei tidak mahu beraksi, ia sesuatu yang mengecewakan kerana kita bersusah payah untuk memastikan beliau tersenarai ke Sukan SEA Myanmar," katanya kepada pemberita di MSN, Bukit Jalil pada Rabu.

Hup Wei sebelum ini memaklumkan bahawa beliau tidak akan beraksi di Myanmar atas alasan belum pulih sepenuhnya dari kecederaan pada buku lali yang dialaminya tahun lepas.

Nama Hup Wei sebelum ini tidak tersenarai ke Myanmar oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) setelah pemenang pingat emas pada tiga Sukan SEA lepas, gagal muncul sebagai dua atlet terbaik negara pada Kejohanan Terbuka Malaysia ke-89, bulan lepas.

Bagaimanapun, MSN berusaha menyenarai nama Hup Wei kerana percaya dengan kemampuan atlet tersebut dan bersedia menanggung perbelanjaan atlet berusia 26 tahun dari Selangor itu.

Zolkples berkata sebagai atlet senior dan berpengalaman, Hup Wei tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin turut bersusah payah turun padang berbincang dengan KOM bagi memastikan nama beliau tersenarai ke Myanmar.

"Jika Hup Wei tidak mahu bertanding, beliau sepatutnya beritahu awal agar kita tidak perlu bersusah payah seperti mana dilakukan (ratu 400 meter lari berpagar negara) Noraseela Khalid sebelum ini (yang memaklumkan tidak mahu beraksi di Myanmar)," katanya.

Zolkples berkata beliau sendiri akan bertemu dengan Hup Wei dalam masa terdekat bagi mengetahui keadaan sebenar atlet berkenaan.

"Saya harap atlet lain tidak melakukan kesilapan yang sama kerana atlet kebangsaan perlu bertindak secara profesional," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain