suria

Iskandar Zulkarnain Wakil Tunggal Negara Pada GP Emas Korea

KUALA LUMPUR: Pemain pelapis Iskandar Zulkarnain Zainuddin menjadi wakil tunggal negara yang meneruskan kemaraan ke suku akhir Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Korea di Jeonju, Korea Selatan, Khamis.

Pada aksi pusingan ketiga , pemain pilihan ke-10 itu dengan mudah menundukkan pemain tuan rumah, Young Woong Ha dengan kemenangan 21-17 dan 21-16, demikian menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org.

Menanti beliau pada saingan suku akhir pada Jumaat ialah pemain muda China, Tian Houwei yang menumpaskan wakil Jepun, Riichi Takeshita dengan keputusan 23-21 dan 21-17 dalam satu lagi aksi pusingan ketiga.

Sementara itu, hasrat pasangan pecahan negara, Mohd Razif Abdul Latif dan Muhammad Hafiz Hashim untuk meneruskan kemaraan tidak kesampaian selepas kalah 13-21 dan 10-21 kepada beregu tuan rumah yang merupakan pilihan kelima, Ko Sung Hyun dan Shin Baek Choel.

Wakil tunggal negara dalam acara beregu campuran, Tan Aik Quan dan Lai Pei Jing tersingkir daripada kejohanan selepas kalah 8-21 dan 17-21 kepada Kuan Hao Liao /Hsiao Ma Pai dari Taiwan pada pusingan pertama, Rabu.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menghantar wakil dalam kategori perseorangan dan beregu wanita pada kejohanan yang menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah US$120,000 (RM382,111). - BERNAMA

Artikel Lain