suria

Malaysia Tambah Dua Emas Di Kejohanan Wushu Dunia

KUALA LUMPUR: Skuad wushu negara menambah dua lagi pingat emas pada Kejohanan Dunia ke-12 di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, di sini Ahad.

Kilauan emas itu diraih Tai Cheau Xuen dalam acara nanquan wajib wanita dan Phoon Eyin dalam acara changquan wajib wanita.

Sebelum ini, Malaysia memenangi pingat emas melalui Diana Bong dalam acara nandao wanita dan Ho Mun Hua dalam acara nanquan lelaki.

Selain memperoleh dua emas pada Ahad, Malaysia menambah dua lagi perak menerusi Yeap Wai Kin dalam acara changquan wajib lelaki dan Lee Yang dalam acara taijiquan lelaki.

Setakat ini, Malaysia memperoleh empat pingat emas, empat perak dan dua gangsa.

Kejayaan itu secara tidak langsung memperbaiki pencapaian skuad negara pada kejohanan sama di Hanoi, Vietnam pada 2005 dengan empat emas, satu perak dan enam gangsa.

Bagi Phoon Eyin, satu-satunya atlet pelapis kebangsaan yang bertanding pada kejohanan dunia kali ini, kejayaan meraih emas pertama dalam kejohanan dunia amat sukar dilupakan.

"Saya tidak sangka boleh menang pingat emas. Saya sangat gembira dengan pencapaian ini. Saya tidak menyertai rakan-rakan lain dalam skuad pelapis pada Kejohanan Remaja Asia (di Filipina, Ogos lepas) untuk beri tumpuan kepada latihan persediaan untuk kejohanan ini," katanya.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu yang mula menyertai sukan wushu secara kompetitif pada usia 10 tahun, pernah mewakili Negeri Sembilan pada temasya Sukan Malaysia di Kedah pada 2006.

Atlet berusia 17 tahun dari Seremban, Negeri Sembilan, itu diserap ke dalam skuad pelapis kebangsaan tahun lepas.

Dalam acara changquan wajib wanita itu, Eyin memperoleh 9.41 mata manakala pingat perak milik peserta Ukraine, Temna Liudmyla dengan 9.34 mata dan gangsa dirangkul Hanieh Rajabi dari Iran dengan 9.33 mata.

Acara changquan wajib berkenaan pertama kali diadakan dalam Kejohanan Dunia di mana semua peserta perlu memperlihat semua gerakan wajib.

Sementara itu, Cheau Xuen pula memperbaiki pencapaian ketika memenangi gangsa dalam kejohanan yang sama di Toronto, Kanada pada 2009.

Gerakan kemas beliau dalam acara nanquan wajib wanita membolehkannya memperoleh markah tertinggi 9.54 mata.

Pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Saulina Irina dari Russia (9.52 mata) dan Elizabeth Lim dari Australia (8.60 mata). - BERNAMA

Artikel Lain