suria

Piala Malaysia: Pahang Tidak Janji Imbuhan Kepada Pemain

KUANTAN: Pahang tidak menjanjikan sebarang bentuk imbuhan kepada pemain bagi merangkul Piala Malaysia dalam perlawanan akhir menentang Kelantan di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata ini bagi mengelak pemain disogok dengan imbuhan untuk memberi tumpuan dalam perlawanan akhir tersebut.

"Apa yang dikehendaki pemain dapat memberi fokus kepada perlawanan tanpa mengharap balasan imbuhan demi kecemerlangan pasukan sambil menghadiahkan kemenangan buat penyokong Pahang," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Katanya, prestasi barisan pemain Pahang yang ada sekarang berada dalam keadaan terbaik serta semangat pada tahap yang cukup tinggi untuk memberi kejutan ke atas juara bertahan, Kelantan.

Beliau menyeru setiap pemain agar menunjukkan aksi yang memukau bagi membawa pulang piala berprestij yang kali terakhir dimenangi pada 1992.

Dalam pada itu, Muhammad Safian, yang juga Setiausaha Kerajaan negeri, berkata belum ada perancangan untuk mengisytiharkan cuti peristiwa bagi negeri Pahang seperti mana yang diberi oleh kerajaan negeri Kelantan, Isnin ini.

Semalam, skuad Pahang mengadakan solat hajat dan doa selamat di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah di sini bagi kesejahteraan negeri Pahang dan kejayaan pada pentas final itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Breathe Direka Pelbagai Kelebihan

Artikel Lain