suria

Perak 'Tolak' 12 Pemain Liga Super Bagi Musim Depan

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) tidak mengekalkan khidmat 12 pemain termasuk dua pemain import dari Brazil bagi menghadapi saingan Liga Super musim baharu tahun depan.

Presiden PAFA Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata kebanyakan daripada 12 pemain itu telah tamat kontrak musim ini manakala yang lain memohon pelepasan dengan persetujuan bersama.

Pemain-pemain tersebut ialah Mohd Farizal Marlias, Shahrulnizam Mustaffa, Abdul Hadi Yahya, Muhd Shahrom Abd Kalam, Mohd Failee Mohd Ghazli, V.Thirumurugan, S.Chanturu, M.Sivakumar, Mohd Rafiuddin Roddin dan Azlan Ismail sementara dua pemain import tersebut ialah Paulo Rangel dan Rafael Souza Silva Novais.

"Kami mengekalkan 10 pemain musim ini memandangkan mereka sangat sesuai dengan perancangan ketua jurulatih Abd Bakar Fadzim selain membawa masuk 10 pemain daripada skuad Piala Presiden," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Zainol Fadzi berkata pegawai khas kepada Menteri Besar, Datuk Azhar Ahmad dilantik sebagai pengurus pasukan dan mereka akan mengambil khidmat tiga pemain import untuk saingan musim depan.

Dakwaan mengatakan tidak akan ada pemain berminat menyertai skuad Perak adalah 'cerita gosip' kerana sudah ada beberapa pemain termasuk daripada pasukan handalan yang mahu menyarung jersi Perak untuk musim depan, katanya.

Dakwaan itu timbul berikutan tindakan PAFA menggantung kesemua pegawai dan petugas pasukan Liga Super negeri itu selama dua minggu selepas mengesyaki berlaku elemen rasuah dan sabotaj dalam skuad itu pada 23 Sept lepas.

Zainol Fadzi berkata rombakan senarai pemain dan pegawai serta gabungan pemain lama dan muda dalam skuad musim depan tidak ada kaitan dengan isu yang melanda pasukan itu sebelum ini.

"Untuk musim 2014, PAFA menaruh kepercayaan kepada mereka untuk melakukan sesuatu...memanglah kita tidak mengharapkan keajaiban dalam proses menyediakan pasukan Liga Super musim depan," katanya.

Pada Liga Super musim ini, Perak menduduki tempat ketujuh dalam liga dan gagal melepasi peringkat kumpulan Piala Malaysia. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Breathe Direka Pelbagai Kelebihan

Artikel Lain