suria

M'sia, Jepun Di Separuh Akhir Siri Super ISTAF 2013/2014 Ahad

KOTA KINABALU: Malaysia akan bertemu Jepun pada peringkat separuh akhir pusingan ketiga Kejohanan Siri Super Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) 2013/2014, di sini, Ahad.

Malaysia berjaya melangkah ke separuh akhir selepas menewaksan Singapura 2-1 pada peringkat suku akhir kejohanan itu yang berlangsung di Kompleks Sukan Likas di sini Sabtu.

Jepun mengikut langkah Malaysia ke perlawanan separuh akhir selepas menewaskan India 2-1. Jepun menang 12-15, 15-12 dan 16-14 pada peringkat suku akhir.

Dalam pertemuan menentang Singapura, Malaysia yang menurunkan Fazil Mohd Asri dengan dua pengapitnya, Kamal Alfiza Shafie dan Syazreen Qamar Salehan mudah menundukkan Singa Selatan itu dengan 15-7 pada set pertama.

Dalam set kedua, regu Malaysia bermula agak baik dengan mengekalkan rentak permainan di set pertama dengan meninggalkan Singapura 8-2, namun selepas itu Singapura terus agresif menambah mata sehingga kedua-dua regu terikat 14-14.

Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan pelibas regu Malaysia, Kamal Alfiza Shafie, sehingga membolehkan Singapura mengejar mata demi mata memaksa beliau dikeluarkan dan digantikan dengan Hanafiah Dolah ketika mata terikat pada 14-14.

Bagaimanapun, kemasukan Hanafiah mungkin sudah agak terlewat dan seolah-olah tidak berkesan menyekat kemaraan Singa Selatan itu yang akhirnya menewaskan Malaysia 16-14, sekali gus memaksa perlawanan penentuan di set ketiga.

Kawalan bola dan keserasian regu Malaysia begitu menyerlah pada seawal permulaan set ketiga apabila Malaysia langsung tidak memberi ruang kepada pihak lawan memungut mata dengan meninggalkan Singapura 12-0.

Selepas Malaysia mengutip mata ke-13, barulah Singapura berjaya mengutip mata pertama mereka, namun ia tidak mampu melawan Malaysia yang mendapat sokongan padu kira-kira 7,000 penonton di Kompleks Sukan Likas.

Akhirnya, regu Malaysia menamatkan perlawanan dengan kemenangan 15-2 ke atas Singapura dalam tempoh 52 minit. Singapura membariskan Farhan Aman sebagai tekong, Afif Shafie dan Nurirwan Mazlan.

Pengurus pasukan negara, Jalaluddin Hassan jelas berpuas hati dengan keputusan ini kerana selain berjaya layak ke separuh akhir, tekong Fazil Mohd Asri tidak mensia-siakan kepercayaan yang diberikan bermain pada Sabtu, apabila berjaya memberikan persembahan terbaik.

Mengenai perlawanan separuh akhir menentang Jepun pada Ahad, Jalaluddin berkata, Malaysia tidak akan memandang rendah kemampuan lawan mereka termasuk Jepun, namun azam Malaysia untuk ke perlawanan akhir tidak pernah pudar.

"Kita tidak memandang rendah Jepun pada perlawanan separuh akhir esok, kerana perlawanan itu amat penting bagi kita untuk mara ke perlawanan akhir," kata Jalaluddin.

Mengenai sokongan peminat sepak takraw yang datang ke Kompleks Sukan Likas, Jalaluddin berkata, beliau berbangga dengan kehadiran ramai peminat sukan itu yang dianggapnya jauh lebih hebat, berbanding sambutan di India dan Thailand sebelum ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Breathe Direka Pelbagai Kelebihan

Artikel Lain