suria

KBS Mahu Perbuatan Jual Tiket Secara Haram Dianggap Kesalahan Jenayah

DUNGUN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu pindaan dilakukan terhadap akta yang sedia ada bagi menjadikan perbuatan menjual tiket perlawanan bola sepak secara haram sebagai satu kesalahan jenayah.

Justeru itu, Menterinya Khairy Jamaluddin mencadangkan agar Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengkaji akta yang sedia ada bagi memastikan kegiatan ulat tiket dalam sukan bola sepak dapat dihapuskan mulai tahun depan.

"Saya difahamkan negara kita tidak ada sebarang undang-undang yang boleh dikuatkuasakan terhadap ulat tiket perlawanan bola sepak," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Karnival Sukan Antara UiTM di sini Khamis.

"Kalau di England, tindakan individu menjual tiket secara tidak sah dianggap sebagai perbuatan jenayah dan polis boleh menangkap sesiapa sahaja yang menjual tiket secara haram," katanya.

Beliau berkata langkah seperti ini perlu diambil bagi membendung kegiatan ulat tiket yang berleluasa setiap tahun menjelang perlawanan akhir bola sepak di negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain