suria

Halim Azam Raih Emas Acara Lompat Jauh Sukan Para Remaja Asia

KANGAR: Pemenang pingat emas acara lompat jauh kategori F38 Temasya Sukan Para Remaja Asia 2013, Abdul Halim Badaruddin, berazam untuk meraih pingat emas acara itu dalam Kejohanan Sukan Para Asean di Myanmar awal tahun depan.

Beliau yakin harapannya itu akan menjadi kenyataan seterusnya menaikkan nama sekolah, negeri dan negara berkat semangat gigih serta latihan berterusan di bawah bimbingan jurulatih tempatan, Ahmad Omar, di samping tunjuk ajar para jurulatih berpengalaman di peringkat kebangsaan.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita di sini hari ini selepas majlis menyambut kepulangannya setelah menyertai Temasya Sukan Para Remaja Asia 2013 di Kuala Lumpur.

Abdul Halim, 19, yang mengalami kecacatan 'cerebralpalsy' iaitu keadaan lemah anggota sebelah kiri adalah pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran Sekolah Menengah Kebangsaan Arau.

Beliau meraih dua pingat dalam temasya sukan berkenaan dengan memenangi emas dan memecah rekod kejohanan bagi acara lompat jauh dengan lompatan 4.66 meter selain pingat perak dalam acara lari 400 meter.

Dalam Kejohanan Sukan Paralimpik Terbuka Malaysia di Kuala Lumpur tahun lepas, Abdul Halim membawa pulang dua pingat emas daripada acara lari 800 meter dan 1,500 meter. -BERNAMA

Artikel Lain