suria

Pahang Jadi Tuan Rumah Pestabola Merdeka 2014

KUALA LUMPUR: Pahang kekal sebagai penganjur Pestabola Merdeka 2014 manakala tawaran dibuka kepada negeri lain untuk edisi 2015 dan 2016, menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Rabu.

Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata badan induk sukan itu mahu memberi peluang kepada persatuan negeri menganjurkan kejohanan tertua dan berprestij itu di luar Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Belia FAM di Shahzan House, di sini.

Pestabola Merdeka buat pertama kali diadakan di luar ibu negara apabila Pahang diberi penghormatan menganjurkannya pada September lepas dengan skuad Harimau Muda A (skuad kebangsaan bawah 23 tahun) muncul juara.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mengalahkan Myanmar 2-0 pada final di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah menyeru akademi bola sepak swasta di negara ini supaya berdaftar dengan FAM dengan secepat mungkin bagi mengelak pemain mereka dipancing pasukan lain dengan tawaran lumayan.

Beliau berkata FAM mungkin akan mengeluarkan kad khas atau lesen kepada pemain akademi bagi mengelak mereka daripada berhijrah ke pasukan lain.

Selain itu, Tengku Abdullah meminta persatuan negeri menganjurkan kejohanan liga bawah 19 tahun untuk pasukan lelaki dan liga wanita bawah 14 tahun di peringkat negeri dalam usaha mencungkil bakat pemain remaja.

"Saya harap persatuan negeri dapat melaksanakan inisiatif ini secepat mungkin manakala kita akan cuba membantu mendapatkan penajaan (untuk penganjuran kejohanan) dan sebagainya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain