suria

Khairy Mahu FAM Pantau Pembelian Tiket Secara Pukal

PUTRAJAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta memantau pembelian tiket secara pukal bagi perlawanan akhir Piala Malaysia bagi membendung kegiatan ulat tiket yang cuba mengaut keuntungan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata FAM perlu mengawal ketat pembelian tiket secara pukal kerana tidak mahu pihak yang membeli secara pukal kemudian menjualnya kepada ulat-ulat tiket.

"FAM kena beri penjelasan sama ada tiket habis kerana permintaan tinggi oleh penyokong atau disebabkan oleh perkara lain.

"Adakalanya, tiket yang dikhaskan untuk jualan secara pukal akan memberi kesan kepada jualan di kaunter tiket di stadium," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Asean Mengenai Sukan Untuk Semua 2013 (ACOS 2013) di sini, Rabu.

Beliau mengulas mengenai tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara juara bertahan Kelantan dan Pahang di Stadium Shah Alam, Ahad ini, habis dijual dalam tempoh 15 minit sejurus kaunter di stadium berkenaan dibuka pada pukul 9 pagi Rabu.

FAM memperuntukkan 15,000 tiket untuk dijual di venue pertandingan manakala masing-masing 30,500 tiket diperuntukan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

Berikut permintaan tiket yang tinggi daripada penyokong Kelantan dan Pahang, Khairy berkata FAM perlu mengadakan kawalan ketat di luar stadium sebelum perlawanan bagi memantau kehadiran ulat tiket.

"Jika di United Kingdom, penjual dan pembeli tiket haram ini boleh dipenjarakan," katanya.

Terdahulu, semasa merasmikan ACOS 2013, Khairy berkata sukan menjadi platform penting bagi memperkukuhkan semangat serantau Asean dan mewujudkan komuniti Asean menjelang 2015.

"Melalui persidangan ini, kita dapat berkongsi amalan terbaik dalam kalangan negara Asean mengenai pelaksanaan Sukan Untuk Semua, iaitu penerapan budaya sukan dalam kalangan masyarakat peringkat akar umbi," katanya.

Persidangan dua hari itu dihadiri 145 peserta termasuk 30 wakil dari negara Asean. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain