suria

FAM Sudah Jawab Insiden Kelayakan Piala Asia Kepada AFC - Hamidin

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah menghantar surat penjelasan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengenai insiden pembakaran suar pada aksi kelayakan Piala Asia 2015 antara skuad Harimau Malaya dan Bahrain di Stadium Shah Alam, 15 Oktober lepas.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata menerusi surat itu, badan induk bola sepak kebangsaan itu turut memberikan penjelasan mengenai perkataan Allah yang tertera pada kemeja-t penyerang skuad Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha ketika beliau meraikan gol penyamaan.

Malaysia dan Bahrain terikat 1-1 pada perlawanan berkenaan.

"Kita hanya menunggu surat maklum balas daripada AFC dan Norshahrul juga telah membuat penjelasan mengenai insiden berkenaan kepada kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Belia yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Shahzan House, di sini, Rabu.

Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa AFC telah menuntut penjelasan daripada FAM mengenai isu pembakaran suar serta penggunaan perkataan Allah pada kemeja-t yang dipakai Norshahrul, menerusi sepucuk surat minggu lepas.

Berdasarkan peraturan empat, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (kelengkapan pemain), mana-mana pemain tidak dibenarkan menayangkan apa-apa mesej sensitif berkaitan politik, agama mahupun komersial ketika berlangsungnya sesebuah perlawanan bola sepak.

Dalam pada itu, Hamidin berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan wakil penyokong Ultras Malaya mengenai insiden pembakaran suar pada aksi Liga Singapura antara skuad Harimau Muda B menentang Courts Young Lions di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu, Ahad lepas.

"Kita tahu terdapat provokasi dalam perlawanan tersebut dan kita sudah jawab surat daripada Persatuan Bola Sepak Singapura mengenai isu berkenaan hari ini termasuklah laporan dari pengadil dan koordinator perlawanan.

"Jadi, kita akan cuba berhubung dengan wakil Ultras Malaya supaya perkara ini tidak terjadi lagi pada masa akan datang," katanya.

Courts Young Lions menang 2-1 dalam perlawanan berkenaan. - EBRNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain