suria

Deepavali Akan Lebih Bermakna Bagi Dua Pemain Pahang Jika Menang Piala Malaysia

KUANTAN: Kemeriahan sambutan perayaan Deepavali akan lebih dirasai dua pemain Pahang sekiranya berjaya membantu pasukan itu untuk melakar kejayaan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Pemain sayap kiri Pahang R.Gopinathan berkata, pengalaman melupakan kemeriahan sambutan perayaan itu merupakan kali kedua baginya selepas pertama kali sewaktu mewakili negara tahun lepas.

"Saya akan bermain habis-habisan dengan memberi tumpuan penuh kepada perlawanan akhir ini bagi membantu Pahang untuk menjulang Piala Malaysia," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan Pahang di sini, Rabu.

Sementara itu, pemain sayap kanan R. Surendran berkata, masa yang dinanti-nantikan untuk beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia sudah lama diidamkan.

"Saya akan melakukan asakan berterusan di bahagian pertahanan Kelantan untuk membuka ruang kepada penyerang terutama Matias Conti bagi menjaringkan gol dan saya yakin kita mampu melakukannya," katanya.

Surenderan berkata, beliau akan bermain habis-habisan untuk perlawanan terakhirnya dalam saingan Piala Malaysia.

Beliau turut meminta rakan sepasukan agar menunjukkan persembahan terbaik untuk mencipta kemenangan dengan membawa pulang Piala Malaysia yang kali terakhir dibawa pulang pada tahun 1992. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain