suria

DBKL Wajar Ganti Jika Velodrom KL Dirobohkan - PKBM

Naim Mohamad
Naim Mohamad
Naim Mohamad

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu membina sekurang-kurangnya velodrom latihan jika benar dakwaan bahawa Velodrom Kuala Lumpur, Cheras akan dirobohkan hujung tahun ini.

Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad berkata ini bagi membolehkan acara berbasikal trek terus diadakan di ibu negara.

"Jika benar dakwaan itu, saya minta pihak DBKL menggantikannya dengan velodrom baharu, tidak semestinya velodrom kategori satu," katanya.

Menyentuh velodrom gantian itu, Naim merujuk kepada Velodrom Rawamangun di Jakarta yang menurutnya tidak melibatkan kos yang tinggi selain dapat disiapkan dalam tempoh singkat.

Terletak di Jakarta Timur, velodrom terbuka konkrit itu digunakan sebagai venue acara berbasikal trek pada temasya Sukan SEA 2011.

Laporan sebuah akhbar yang memetik sumber pada Selasa berkata Velodrom Kuala Lumpur yang pernah menjadi venue Sukan Komanwel 1998, mungkin dirobohkan pada Disember untuk memberi laluan kepada projek komersil.

Dalam perkembangan lain, Naim berkata pelumba-pelumba negara telah selamat tiba di Manchester untuk menyertai Piala Dunia Berbasikal Trek Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dari 1 hingga 3 Nov.

"Namun, saya tidak tahu sama ada sesi latihan mereka di sana terjejas akibat ribut St Jude atau sebaliknya," katanya sambil memberitahu beliau belum mendapat maklumat lanjut daripada ketua jurulatih berbasikal, John Beasley.

Acara berbasikal itu akan berlangsung di Velodrom Tertutup, Pusat Berbasikal Kebangsaan Manchester.

Barisan pelumba negara berkenaan ialah Josiah Ng, Mohd Azizulhasni Awang, Idrus Md Yunus dan Muhammad Firdaus Shahrom Mohd Zonis serta dua pelumba wanita, Fatehah Mustapa dan Ju Pha Som Net. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain