suria

Tujuh Pemain Luar Antara 26 Pemain Skuad Latihan Harimau Muda A

KUALA LUMPUR: Tujuh pemain luar merupakan antara 26 pemain yang disenaraikan oleh ketua jurulatih skuad Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee untuk menjalani latihan pusat sebagai persediaan menghadapi kejohanan jemputan dan perlawanan antarabangsa.

Tujuh pemain berkenaan ialah Mohammad Nasir Basharuddin yang beraksi bersama Perak, S.Sivanesan (Negeri Sembilan), Mohd Zubir Mohd Azmi (Terengganu), Muhammad Safwan Hashim (Angkatan Tentera Malaysia), Ashri Chuchu (Sarawak) serta dua pemain Harimau Muda B (bawah 21 tahun), Wan Ahmad Amir Zafran Wan Nadris dan Muhammad Ridzuan Abdunloh Pula.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan pada Isnin berkata, kesemua 26 pemain berkenaan perlu melaporkan diri kepada Kim Swee di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Selasa.

Skuad kebangsaan bawah 23 tahun itu bakal menyertai kejohanan jemputan Piala Bank for Investment and Development of Cambodia dari 31 Okt hingga 10 November ini di Phnom Penh, Kemboja.

Kejohanan berkenaan disertai oleh enam negara iaitu Thailand, Myanmar, Vietnam, Laos, Malaysia serta Kemboja selaku tuan rumah.

Selepas kejohanan berkenaan, skuad berkenaan akan mengadakan dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan Jordan bawah 23 tahun di Amman, Jordan pada 12 dan 14 November ini.

Dua perlawanan tersebut akan menjadi medan terakhir skuad Harimau Muda A sebelum berdepan misi getir bagi mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA Myanmar, Disember ini.

Senarai 26 pelatih:

Mohammad Nasir Basharuddin (Perak); S.Sivanesan (Negeri Sembilan); Mohd Zubir Mohd Azmi (Terengganu); Muhammad Safwan Hashim (ATM); Ashri Chuchu (Sarawak); Wan Ahmad Amir Zafran Wan Nadris, Muhammad Ridzuan Abdullah Pula (kedua-duanya Harimau Muda B); Shahrul Mohd Saad, Mohd Irfan Fazail, A. Thamil Arasu, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, Mohd Izham Tarmizi Roslan, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Ahmad Hazwan Bakri, D. Saarvindran, Mohd Farhan Abu Bakar, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Saiful Ridzuwan Selamat, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir, Md Rozaimi Abd Rahman, Muhammad Firdaus Muhammad, Hazwan Abd Rahman, Izzaq Faris Ramlan, Mohd Amer Saidin, Mohd Syahid Zaidon, D. Kenny Pallraj (kesemuanya Harimau Muda A). - BERNAMA

Artikel Lain