suria

Malaysia Tuan Rumah Woodball Universiti Asia November 2013

KUALA LUMPUR: Malaysia buat julung kali bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Woodball Universiti Asia 2013 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dari 1 hingga 6 Nov.

Pengerusi jawatankuasa penganjur kejohanan itu Prof Madya Dr Mohd Fo'ad Sakdan berkata penganjuran kejohanan itu sebagai platform kepada mereka menganjurkan temasya yang lebih besar pada masa hadapan.

"Kejohanan ini sebagai persediaan kami menganjurkan Kejohanan Woodball Universiti Dunia pada Oktober tahun depan," katanya yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Selasa.

Malaysia yang menyenarai 10 atlet lelaki dan lapan wanita, dibahagikan kepada kumpulan Malaysia A dan Malaysia B untuk bersaing dengan 110 peserta lain yang mewakili 13 pasukan dari 11 negara.

Negara yang menyertai kejohanan itu ialah Taiwan, India, Vietnam, Thailand (A dan B), China, Mongolia, Hong Kong, Jepun, Indonesia dan Singapura.

Mohd Fo'ad berkata kejohanan yang mendapat sokongan Kementerian Pendidikan itu diharap dapat melahirkan lebih ramai atlet woodball tempatan bertaraf dunia.

"Selain menjayakan kejohanan yang bakal menaikkan nama Malaysia di mata dunia, kami juga mahu menyahut saranan Raja Perlis yang mahu memperkasa sukan woodball kepada umum," katanya.

Pengarah kejohanan Afizal Abu Othman berkata wakil dari 27 negara anggota Persekutuan Sukan Universiti Asia (AUSF) akan berada di negara ini bagi memberi sokongan kepada penganjuran kejohanan itu.

Beliau yakin atlet pengajian tinggi negara mampu bersaing dengan atlet berpengalaman dari negara lain pada kejohanan itu.- BERNAMA

Artikel Lain