suria

Kontrak Baru Atau Tiada Kontrak Langsung: Moyes Kini Kebingungan Mengenai Masa Depan Ferdinand, Evra, Giggs, Vidic, Carrick Dan Ramai Lagi

David Moyes
David Moyes
David Moyes

EVOLUSI atau revolusi? Inilah dilema yang sedang menghantui pengurus Manchester United, David Moyes pada saat dia sedang menimbang apa yang harus dilakukannya ke atas begitu ramai pemain veteran tetapi berpengaruh yang diwarisinya daripada Sir Alex Ferguson dalam tempoh beberapa bulan dari sekarang apabila kontrak pemain-pemain ini sampai ke penghujungnya.

Angin perubahan sebenarnya telah pun bermula di kelab paling berjaya dalam sejarah liga bolasepak Inggeris ini apabila jabatan kejurulatihannya bertukar tangan boleh dikatakan secara total sebaik sahaja Ferguson membuat keputusan muktamad untuk bersara di penghujung musim lalu.

Moyes tiba bersama-sama pasukan kejurulatihannya yang serba baru kecuali Phil Neville yang kembali untuk berkhidmat dengan kelab asalnya dan Ryan Giggs yang diangkat sebagai jurulatih tambahan untuk memastikan wujudnya kesinambungan di antara regim lama dengan yang baru.

Namun begitu, melain Marouane Fellaini yang dibawanya dari Everton, Moyes secara umumnya mewarisi pemain-pemain lama ketika di bawah bimbingan Ferguson yang sebahagian besarnya sudah pun berumur lebih 30 tahun yang di dalam dunia bolasepak sudah dianggap memasuki era pencen.

USIA PERSARAAN

Walaupun ini adalah skuad juara tetapi hakikat bahawa pemain-pemain yang selama ini menjadi tulang belakang United telah menghampiri usia persaraan adalah sesuatu yang membimbangkan kerana tuntutan masa bermakna mereka perlu diganti tetapi pada masa yang sama Moyes berhadapan dengan isu mereka ini adalah pemain-pemain yang setia.

Situasi ini akan menjadikan Moyes berada di dalam kedudukan serba salah sama ada untuk mengantikan mereka atau menawarkan kontrak lanjutan yang singkat sebagai tanda menghargai khidmat tidak berbelah bahagi mereka selama ini.

Sebenarnya ini bukanlah satu-satunya isu yang akan membelenggu Moyes malah terdapat satu lagi isu besar mengenai kontrak para pemain yang bakal memeningkan kepalanya - iaitu mereka yang masih lagi muda dan bertenaga tetapi sudah menghampiri penghujung kontrak.

Untuk rekod mari kita lihat senarai pemain-pemain yang akan tamat kontrak menjelang hujung musim ini iaitu pada Jun 2014.

Mereka ialah pemain-pemain pertahanan iaitu Fabio Da Silva, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic dan Patrice Evra diikuti pemain tengah iaitu Michael Carrick dan Ryan Giggs.

Kemudian pada penghujung musim 2014/2015 pula, mereka yang akan tamat kontrak terdiri daripada Darren Fletcher, Wayne Rooney, Antonio Valencia, Tom Cleverley, Anderson dan Ben Amos.

NILAI KOMERSIL

Kesemua pemain ini jika tidak dijual mestilah diperbaharui kontrak mereka. Andai ini gagal dilakukan, United berhadapan dengan risiko akan kehilangan nilai perpindahan kerana di bawah peraturan Fifa dan Uefa, mereka akan menjadi pemain atau ejen bebas.

Maknanya, jika pemain-pemain ini tidak diperbaharui kontrak mereka, mereka bebas memilih untuk menyertai mana-mana kelab secara percuma tanpa bekas kelab mereka memperolehi apa-apa bayaran pampasan hasil daripada perpindahan tersebut.

Ini sekaligus menjadikan pemain-pemain berkenaan 'hilang nilai komersil' untuk kelab yang diwakilinya dahulu yang telah melabur wang berjuta-juta ringgit membeli mereka dari kelab lain sebelum ini.

Jadi enam atau dua belas bulan sebelum kontrak mereka tamat, biasanya kelab akan memulakan rundingan baru atau jika mahu memunggut keuntungan daripada pelaburan dahulu, pemain-pemain dengan nilai yang tinggi mestilah dijual kepada kelab lain dengan harga yang berlipat kali ganda.

HILANG SENGAT

Kembali kepada dilema Moyes, ketika mula-mula mengambil alih teraju kepimpinan United dari tangan Ferguson, dia cuba untuk bertahan dengan pemain-pemain veteran yang selama ini menjadi tulang belakang dan kepercayaan regim kejurulatihan lama.

Moyes memilih untuk terus meletakkan kepercayaan kepada Rio Ferdinand, Nemanja Vidic dan Patrice Evra sebagai pilihan utama di barisan pertahanan serta Michael Carrick di tengah dalam tiga perlawanan awal iaitu menentang Chelsea, Liverpool dan Manchester City.

Hasilnya tidak langsung memberansangkan dengan United kehilangan lapan mata, tewas dua perlawanan dan hanya menjaringkan satu gol sahaja.

Pengkritik menyalahkan usia sebagai punca barisan pertahanan United gagal mengejar kepantasan penyerang-penyerang lawan yang bagaikan lipas kudung merobek gawang United.

Soalnya, ini semua adalah barisan utama United untuk sekian lama sehingga mereka kembali merampas takhta liga musim lalu.

Mereka bukan sahaja pemain veteran tetapi personaliti yang berpengaruh dan dihormati di kalangan pemain.

Bayangkan hanya baru dua tahun yang lalu, enam daripada mereka bermain dalam final Piala Liga Juara-Juara Eropah menentang Barcelona.

Ferdinand, Vidic, Evra dan Carrick kesemuanya telah berusia lebih 30 tahun manakala Giggs akan berusia 40 tahun menjelang 29 November depan.

Di kalangan mereka, Ferdinand yang telah mencecah usia 35 tahun yang kelihatan paling lemah dan berhadapan dengan kemungkinan kontraknya tidak akan disambung.

Sejak kebelakangan ini, dia tidak lagi bermain malah tidak disenaraikan dalam barisan pemain simpanan pun. Malah kapten pasukan Vidic juga tidak lagi diturunkan dalam kesebelasan utama United.

Penolong kapten, Patrice Evra, 32, kini menjadi satu-satunya pemain lama dan tua yang masih mengekalkan prestasinya dan beberapa hantaran silangnya dari sayap kiri telah menghasilkan gol termasuklah gol kemenangan yang dijaringkan oleh Javier Hernandez ketika menentang Stoke City Sabtu lepas.

Tetapi masa depannya juga tidak begitu cerah memandangkan United masih lagi mengharapkan yang mereka akan dapat memujuk Everton untuk menjual bek kiri mereka, iaitu pemain antarabangsa England, Leighton Baines menjelang Januari ini apabila pintu perpindahan dibuka semula.

United juga masih belum berputus asa untuk cuba mendapatkan pemain bek kiri Real Madrid, Fabio Coentrao.

Malah Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward dalam suatu ruangan forum bersama para ahli kelab peminat United membuat pendedahan terbuka yang Baines dan Coentrao masih menjadi sasaran nombor satu Moyes apabila pintu perpindahan dibuka semula.

DI LUAR LINGKARAN

Di luar lingkaran pemain-pemain tua United itu bagaimanapun terdapat seorang pemain yang merasakan masanya bersama skuad ini sudah sampai ke penghujung jalan.

Pemain itu ialah Fabio Da Silva. Pemain bek Brazil itu tidak mendapat perhatian Moyes dan merasakan yang dia akan dilepaskan menjelang Januari tahun depan atau di penghujung musim nanti.

Setakat ini Fabio hanya diturunkan dalam satu perlawanan sahaja sedangkan pada era Ferguson dahulu dia adalah salah seorang pemain muda yang mendapat tempat dan menjadi pilihan utama di bek kanan.

"Saya rasa masa saya di kelab ini sudah semakin hampir ke penamatnya," kata pemain yang berusia 23 tahun itu.

PERSEMBAHAN TERBURUK

Dengan United di bawah bimbingan Moyes kini mencatatkan persembahan terburuk mereka di awal musim dalam tempoh 20 tahun, terdapat kebarangkalian yang besar Moyes tiada pilihan melainkan memansuhkan skuad yang diwarisinya daripada Ferguson.

Sementara itu masa depan Giggs, 'Peter Pan' United sebagai pemain juga mencuri perhatian ramai.

Apa yang menakjubkan ialah dalam usia menjangkau 40 tahun, pemain itu masih mengekalkan prestasi sebagai pemain terbaik ketika dalam sesi latihan dan yang paling cergas di kalangan semua pemain.

Moyes akan berhadapan dengan dilema sama ada mahu mengekalkan Giggs sebagai pemain atau jurulatih.

Langkah yang paling logikal ialah untuk Giggs mengantungkan butnya tetapi berdasarkan prestasi luar biasa ketika menentang Real Sociedad dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara minggu lalu, Giggs seolah-olah bermain menentang segala hukum logik iaitu tidak langsung memperlihatkan usianya yang sebenar.

GENERASI BARU

Oleh yang demikian seandainya Moyes memutuskan yang khidmat Ferdinand, Vidic, Evra dan Giggs sudah sampai ke penamatnya, bolehkah Moyes bergantung harap kepada generasi muda yang bakal mengantikan mereka seperti Phil Jones, Chris Smalling, Fabio, Alex Buttner, Johny Evans dan pada masa yang sama apakah dia mampu membawa masuk pemain baru seperti Baines dan Fabio Coentrao?

Bagaimana pula dengan seorang lagi pemain yang telah pun mencecah usia 30 tahun iaitu perancang tengah, Michael Carrick?

Ada kemungkinan khidmatnya masih diperlukan tetapi apakah United akan menawarkan sambungan kontrak selama setahun atau dua tahun?

United mempunyai polisi tidak akan menawarkan lanjutan kontrak melebihi setahun kepada mana-mana pemain yang telah mencecah usia 30 tahun dan ke atas. Kontrak mereka hanya akan disambung dari setahun ke setahun berdasarkan prestasi semasa.

Tetapi yang menjadi perhatian terbesar Moyes sudah tentulah masa depan Wayne Rooney, yang kini sudah berusia 28 tahun tetapi akan tamat kontrak menjelang hujung musim 2015.

United sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan - sama ada menyambung kontraknya dengan bayaran gaji yang lebih lumayan daripada apa yang diperolehinya sekarang iaitu 250,000 Pound Sterling seminggu atau menjualnya pada harga paling tinggi untuk memperolehi keuntungan maksimum.

Sejak dibelenggu kontroversi mahu meninggalkan kelab ini di penghujung musim lalu yang menyaksikan hubungannya dengan Ferguson menjadi rengang, Rooney telah kembali menemui semula sentuhan ajaibnya di bawah bimbingan Moyes.

Masa depan Tom Cleverley dan Anderson juga turut menjadi teka-teki dan tanda tanya menjelang 2015, yang mana kontrak mereka akan turut tamat sementara pemain veteran Darren Fletcher yang menjadi kesayangan Ferguson tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan pulih sepenuhnya dari sakit buasirnya yang kronik.

Pemain antarabangsa England, Ashley Young yang dilabelkan sebagai 'suka menjatuhkan diri' tidak lagi bermain sejak perlawanan menentang Manchester City.

Sementara Shinji Kagawa yang sejak akhir-akhir ini baru mendapat kepercayaan Moyes masih lagi mencari sentuhan ajaib dalam liga perdana Inggeris. Mungkin Ferguson telah pun menjangkakan jika dia tidak bersara sekarang dia akan mewarisi sakit kepala ini. Tetapi sekarang dia telah menyerahkannya kepada rakan senegaranya, David Moyes.

PEMAIN-PEMAIN UNITED YANG AKAN TAMAT KONTRAK MENJELANG JUN 2014:

Fabio Da Silva, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Patrice Evra, Michael Carrick, Ryan Giggs.

PEMAIN-PEMAIN UNITED YANG AKAN TAMAT KONTRAK MENJELANG JUN 2015:

Darren Fletcher, Wayne Rooney, Antonio Valencia, Tom Cleverley, Anderson, Ben Amos.

Artikel Lain