suria

Kejohanan Powerlifting Terbuka Asia IPC Tarik Lebih 300 Atlet

KUALA LUMPUR: Lebih 300 atlet dan pegawai teknikal dari 35 negara Asia akan menyertai kejohanan Powerlifting Terbuka Asia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) 2013 di Stadium Titiwangsa mulai 3 Nov.

Presiden Persatuan Powerlifting Para Malaysia, Kamaruzaman Kadir berkata kejohanan itu adalah pentas terakhir bagi kelayakan menyertai Kejohanan Powerlifting Dunia di Dubai tahun depan dan Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016.

Beliau berkata kejohanan lima hari itu akan mempertandingkan masing-masing 10 acara bagi kategori lelaki dan wanita.

"Kejohanan ini menjadi platform terbaik untuk atlet negara meningkatkan lagi prestasi mereka," katanya pada sidang media mengenai kejohanan itu di sini hari ini.

Menurutnya, atlet negara akan berdepan dengan saingan daripada atlet terbaik dari negara seperti China, Libya, Iran dan Australia.

Kejohanan itu melibatkan atlet kurang upaya (OKU) yang mengalami palsi serebrum, masalah saraf tunjang dan kudung, yang mematuhi syarat kelayakan minimum penyertaan.

Atlet negara akan menyertai acara 49 kg, 54 kg, 72 kg, 88 kg, 97 kg dan 107 kg bagi kategori lelaki dan 41 kg dan 79 kg bagi wanita.-BERNAMA

Artikel Lain