suria

'Play-Off' Tentukan Juara Antara Moore Dan Woodland Pada Isnin

KUALA LUMPUR: Ryan Moore dan Gary Woodland berkongsi kedudukan teratas apabila masing-masing mencatatkan 14 bawah 274 selepas pusingan akhir Kejohanan Golf CIMB Classic 2013 di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) di sini, Ahad.

Bagaimanapun, pemenang kejuaraan bernilai AS$7 juta (RM21.99 juta) itu akan diputuskan menerusi penentuan play-off buat julung kali dalam sejarah kejohanan yang diperkenalkan pada 2010.

Gelaran juara akan menjadi rebutan antara kedua-dua pemain dari Amerika Syarikat itu pada play-off, bermula 7.30 pagi Isnin.

Pusingan akhir itu tertangguh sebanyak dua kali ekoran hujan lebat mulai tengah hari tadi dan hanya disambung semula pukul 4.30 petang.

Dalam saingan pada Ahad, Moore mencatatkan dua di bawah 70 manakala Woodland pula tiga bawah par 69 untuk mengakhiri cabaran dengan jumlah terkumpul masing-masing 274 pukulan.

"Kini saya sedikit kabur kerana hari ini begitu bingung dengan keadaan cuaca yang tidak menentu. Saya fikir kami berdua cukup gembira dengan pencapaian sehingga setakat ini.

"Tetapi jelas kami perlu kembali esok untuk play-off...ia bukan perkara paling teruk. Saya gembira untuk berada dalam kedudukan ini selepas hampir-hampir gagal dalam lubang terakhir sebelum melakukan pukulan par.

"Nasib baik saya masih ada peluang untuk memburu kejuaraan," kata Moore yang memburu gelaran ketiga dalam siri Jelajah PGA.

Beliau melakukan pukulan birdie pada lubang ke-16 untuk mengumpul catatan bawah 14 pukulan sebelum melakukan pukulan par pada dua lubang terakhir manakala Woodland yang mendahulu satu pukulan, gagal melakukan pukulan birdie pada lubang ke-18.

"Saya rasa telah melakukan pukulan emas tetapi malangnya bola tidak masuk," kata Woodland yang menjadi pemain profesional sejak 2007.

Selepas saingan hebat dalam kelompok utama, pemain muda Thailand, Kiradech Aphibarnrat berjaya berkongsi kedudukan ketiga dengan seorang lagi pemain Amerika Syarikat, Chris Stroud, masing-masing catatan sama 13 bawah par 275.

Kiradech, 24, berkata beliau bangga dengan corak permainannya dan telah menepati sasaran muncul antara lima atau 10 pemain terbaik.

"Saya tidak main begitu baik sekali sejak menjuarai Terbuka Malaysia di sini Mac lepas..ini sudah cukup gembira buat saya," kata pemain itu.

Daripada jumlah 78 pemain, wakil negara, Nicholas Fung menduduki tempat ke-63 dengan jumlah catatan lima di atas par 293 manakala Rashid Ismail di tempat ke-76 dengan catatan 18 di atas par 306. - BERNAMA

Artikel Lain