suria

Nicol Tambah Koleksi Gelaran Dengan Kejuaraan Sulung Terbuka China

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara Datuk Nicol David merangkul gelaran keempat dalam siri Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Wanita (WSA) musim ini selepas menjuarai Kejohanan Terbuka China di Shanghai, Ahad.

Pemain nombor satu dunia itu, bagaimanapun, terpaksa memerah keringat sebelum menyingkirkan bintang muda Mesir, Raneem El Weleily dalam pertarungan lima set dengan keputusan 8-11, 6-11, 11-7, 11-7 dan 11-8.

Dalam 14 pertemuan dengan Raneem, 24, selaku pemain nombor tiga dunia, Nicol David hanya kalah dua kali.

Sepanjang musim ini, Nicol, 30, menjuarai Terbuka Malaysia, Carol Weymuller, Terbuka Amerika Syarikat dan kini Terbuka China buat kali pertama.

"Semua perlawanan pada Terbuka China berjalan lancar dan hari ini sangat bangga kerana mengatasi lawan dalam set penentuan," kata Nicol dalam Twitternya.

Sebelum ini, Raneem menyingkirkan juara bertahan dan pemain nombor dua negara Low Wee Wern dalam saingan suku akhir, Jumaat lepas. - BERNAMA

Artikel Lain