suria

Cub Prix: Fuad Tubuh Pasukan Kelas Wira

Fuad bersama dua pelumbanya,Saiful Izman dan Kasma Daniel (kiri).
Fuad bersama dua pelumbanya,Saiful Izman dan Kasma Daniel (kiri).
Fuad bersama dua pelumbanya,Saiful Izman dan Kasma Daniel (kiri).

PELUMBA berpengalaman, Ahmad Fuad Baharudin kini bukan sahaja digelar pelumba, malah turut memiliki pasukan sendiri menjelang saingan Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan, hujung minggu ini.

Bukan sahaja mempunyai misi peribadi untuk memburu gelaran perdana CP130 buat kali ketiga, pelumba itu kini memiliki pasukannya sendiri di dalam kelas Wira dengan mempertaruhkan gandingan dua pelumba muda, Saiful Izman Ahmad Zamani dan Kasma Daniel Kasmayuddin, dua nama yang tidak asing di dalam saingan Cabaran Super Siri Yamaha 135 PETRONAS.

Dikenali dengan nama Permata Budimas AFB Tech, Ahmad Fuad selaku pemilik pasukan turut menyerahkan tanggungjawab kepada adiknya yang juga bekas pelumba Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC), Ahmad Nashrul untuk memainkan peranan sebagai pengurus pasukan.

“Sebenarnya sudah lama saya merancang untuk mula membangunkan pelumba-pelumba muda di bawah pasukan saya sendiri namun faktor kewangan menjadi kekangan utama.

"Cuma baru-baru ini cadangan ini telah menarik minat penaja utama kami, Permata Budimas dan beberapa penaja-penaja lain dan akhirnya hasrat saya berjaya direalisasikan. Saya sangat gembira dan berterima kasih di atas segala sokongan yang telah diberikan,” kata Ahmad Fuad.

Pelumba berusia 34 tahun yang cukup berpengalaman dengan Kejuaraan Cub Prix ini mengakui penubuhan pasukan ini adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang setelah bersara daripada perlumbaan kelak sebagaimana yang dilakukan bekas-bekas pelumba yang lain.

“Saya sudah berlumba lebih daripada 15 tahun dan sudah tiba masanya untuk saya mula memikirkan tentang persaraan satu hari nanti.

"Cuma bukanlah sekarang, mungkin beberapa tahun akan datang namun saya perlu membuat perancangan awal. Sama seperti yang dilakukan Mohd Rosnizam Mohd Noor, Soong Chee Kieong, Yong Yin Hoe dan Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang turut memiliki pasukan mereka sendiri,” tambah Fuad.

Mengulas tentang perancangan pasukannya, Ahmad Fuad berkata: “Ada yang bertanya kenapa beraksi ketika hanya berbaki tiga perlumbaan sahaja lagi, sebenarnya ini adalah sebagai persediaan untuk musim hadapan.

"Sudah tentu kami tidak meletakkan sasaran untuk merebut kedudukan podium dengan serta merta. Meskipun begitu, saya yakin jurang keupayaan kami tidak banyak berbeza dengan pasukan sedia ada.

“Pada masa sama kami mahu melatih pelumba-pelumba, begitu juga dengan ahli pasukan, Mereka boleh belajar tentang pelarasan jentera, menyesuaikan diri dengan pelumba dan mengumpul data-data berkaitan sepanjang tiga perlumbaan ini.

"Jadi ini akan memudahkan kami untuk membuat persediaan rapi menjelang musim baru nanti".

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain