suria

Isu Rasis: UEFA Mula Siasat CSKA Moscow

Toure kecewa dengan tindakan rasis di Moscow Rabu lalu.
Toure kecewa dengan tindakan rasis di Moscow Rabu lalu.
Toure kecewa dengan tindakan rasis di Moscow Rabu lalu.

BADAN disiplin Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mula membuka prosiding tatatertib terhadap pasukan CSKA Moscow disebabkan oleh tindakan perkauman segelintir penyokong kelab itu kepada pemain pasukan Manchester City, Yaya Toure.

Toure diejek dengan gaya seperti monyet oleh penyokong-penyokong kelab itu pada aksi Liga Juara-Juara Rabu lalu.

Bagaimanapun CSKA Moscow menafikan laporan tersebut.

Pemain tengah tersebut yang berasal dari Ivory Coast itu mengadu kepada pengadil (Ovidiu Hategan) bahawa penyokong kelab Rusia itu menghinanya ketika menang 2-1 di Moscow.

Namun tiada tindakan yang diambil oleh pengadil, tetapi UEFA telah mengambil keterangan daripada pengadil dan membuka fail disiplin terhadap kelab ini berkaitan dengan kelakuan perkauman itu dan juga tindakan membakar mercun di kawasan penonton.

"Prosiding disiplin telah dibuka terhadap CSKA Moscow kerana tindakan perkauman oleh penyokong-penyokong mereka (peraturan disiplin UEFA artikal 14) dan menggunakan bunga api (artikal 16) pada perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Moscow bertemu Manchester City,"jelas kenyataan UEFA.

"Kes ini akan dikendalikan oleh Badan Kawalan dan Disiplin UEFA pada 30 Oktober ini".

UEFA juga menegaskan kelab itu tidak boleh lari daripada denda jika tindakan penyokong-penyokong mereka itu di dapati bersalah.

Sementara itu, jurucakap CSKA Moscow, Michael Sanadze menjelaskan tidak ada apa yang perlu dijawab.

"Tidak ada perkara untuk dibincangkan. Tiada apa-apa yang istimewa berlaku.

"Keadaan di stadium sangat bising. Tidak ada sesiapa yang dengar termasuk Yaya Toure.

"Masalah ini timbul apabila Yaya Toure dikatakan mendengar sesuatu," jelasnya.

Manakala laman web rasmi kelab tersebut berkata: "Selepas menilai menerusi pita rakaman video, kami mendapati tidak ada aksi perkauman daripada penyokong CSKA, dan wakil kelab ini mengesahkan perkara ini selepas perlawanan."

Dalam pada itu, Toure begitu kecewa dengan insiden yang berlaku ini.

"Saya bukan sahaja kecewa, tetapi saya marah. Saya berpendapat UEFA perlu mengambil tindakan lebih tegas kerana pemain yang sama warna kulit akan sentiasa berada dalam situasi ini.

"Sebagai kapten yang memakai armband 'no to racism', namun sesuatu yang mengecewakan berlaku.

"Mungkin mereka boleh menggantung daripada menggunakan stadium ini untuk tempoh beberapa bulan ataupun tahun, saya tidak pasti," katanya.

Toure juga mengecam pemain-pemain berkulit hitam ada kemungkinan akan memboikot Piala Dunia 2018 di Rusia, melainkan negara itu mengambil berat mengenai isu perkauman.

"Jika kami tidak yakin keadaan di sini pada Piala Dunia di Rusia nanti, kami tidak akan datang," jelasnya.

Artikel Lain