suria

Malaysia Yakin Jadi Tuan Rumah Bola Sepak Piala Dunia Bersekutu 2014

KUALA LUMPUR: Malaysia yakin dapat menjadi tuan rumah pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Bersekutu 2014 di bawah Olimpik Istimewa Antarabangsa (SOI).

Presiden Olimpik Istimewa Malaysia (SOM) Datuk Muhammad Feisol Hassan berkata delegasi SOI yang melawat negara minggu lepas amat tertarik dengan kemudahan stadium, penginapan dan kemudahan latihan di sini.

"Hasil daripada lawatan dan tinjuan oleh delegasi SOI...kita mempunyai kelebihan," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Selain Malaysia, Chile dan England turut menunjukkan minat menjadi tuan rumah kejohanan tersebut dan keputusan pemilihan tuan rumah akan diketahui bulan depan.

Muhammad Feisol berkata kejohanan yang menelan belanja RM15 juta itu mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau berkata kejohanan Piala Dunia ini khusus buat kanak-kanak yang mengalami masalah keupayaan berfikir dan setiap pasukan akan disertai oleh tujuh pemain istimewa dan empat pemain normal.

Menurutnya Piala Dunia itu akan disertai 24 negara daripada enam benua yang telah bersaing di peringkat kelayakan dan setakat ini 22 negara telahpun layak termasuk Thailand, Bangladesh, Indonesia, Jerman, Amerika Syarikat, Jepun dan Mexico.

"Thailand dan Bangladesh merupakan antara pasukan paling kuat di zon Asia Timur dan pasukan negara perlu berusaha keras selepas menduduki tempat ketiga paad saingan kelayakan," katanya.

Kejohanan itu dibahagikan kepada enam kumpulan dan dan setiap perlawanan dimainkan selama 30 minit untuk setiap separuh masa. - BERNAMA

Artikel Lain