suria

Olahraga: Zolpkles Minta KOM Pertimbang Nama Hup Wei Dan Noraseela

Zolkples Embong
Zolkples Embong
Zolkples Embong

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong meminta pertimbangan daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menilai kembali senarai atlet yang akan beraksi pada Sukan Sea di Myanmar Disember ini.

Zolkpes berkata, beliau meminta KOM memberi satu lagi peluang kepada dua orang atlet senior, Lee Hup Wei dari acara lompat tinggi dan jaguh 400 meter lari berpagar, Noraseela Mohd Khalid untuk membuktikan kemampuan mereka.

"Saya baharu tengok senarai nama yang dikemukan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Saya tidak ada masalah dengan senarai nama yang mereka berikan itu setakat ini.

"Sudah tentu Hup Wei tidak mencatat kejayaan yang baik pada Terbuka Malaysia (2.10m) dan kita semua sedia maklum bahawa enam atlet telah layak dalam kategori masing-masing.

"Dan nama yang dikemukan antaranya Nauraj Singh Randhawa dan S.Navin Raj.

"Saya tidak pasti kenapa Hup Wei tidak diberi sebagai atlet kedua.

"Saya tidak ada masalah dengan Nauraj kerana dia telah mempamerkan aksi yang baik di Palembang sebelum ini.

"Cuma Navin mencatat 2.15 dan itu tidak ada masalah untuk Hup Wei kerana perbezaannya tidak jauh.

"Kita sedia maklum Hup Wei sebelum ini merupakan atlet yang konsisten cuma saya tidak faham kali ini prestasinya merosot, mungkin mengalami tekanan," jelasnya pada sidang media, Selasa.

Zolkples berkata, polisi telah dibuat oleh KOM dan mungkin sukar untuk mereka mengubah senarai nama.

"Tetapi apa yang saya lihat ada nama yang tidak bertanding pada Terbuka Malaysia dan turut disenaraikan ke Sukan Sea.

"Jadi saya ingin tahu sekiranya mereka boleh beri jawapan mengenai situasi ini dan konsisten dengan keputusan yang mereka buat.

"Saya agak musykil kenapa Hup Wei tidak diberi peluang kedua. Dia masih memegang rekod kebangsaan iaitu 2.27 meter yang dicatatnya semasa Kejohanan Olahraga Terbuka China 2008 dan turut mencatat aksi konsisten 2.21m, 2.22m," katanya.

Manakala Zolkples turut mengulas mengenai seorang lagi atlet senior Mohd Robbani Hassan yang tidak disenaraikan.

"Saya tidak ada masalah dengan Mohammad Rohaizad Jamil kerana dia di bawah pelapis kita. Saya pun pernah buat kenyataaan sebelum ini bahawa keutamaan kita masih lagi pelapis jika dalam kategori B.

"Jadi saya tidak ada masalah sama ada Rohaizat ataupun Robbani," jelasnya.

Dalam pada itu, Zolkples juga turut berasa musykil kerana Noraseela turut tidak disenaraikan.

"Sebelum ini kami ada berbincang dan dia ada tawarkan diri untuk bertanding dalam acara 4x400m kerana saya tengok acara itu disenaraikan dalam kategori kepentingan negara.

"Saya rasa kalau dia dimasukkan menjadi salah seorang pelari acara itu, sudah tentu dia boleh beraksi dalam acara 400m berpagar.

"Dia menunjukkan kesungguhan untuk beraksi dan sanggup mengeluarkan duit sendiri bagi menjalani latihan bersama jurulatihnya di Afrika Selatan.

"Saya ada berseloroh dengannya, jika dia menang emas, kami akan bayar balik perbelanjaan tersebut.

"Tidak dinafikan prestasi dia tidak memberangsangkan kerana baharu empat minggu baharu menjalani latihan selepas kecederaan.

"Bagaimanapun dia memang bersungguh-sungguh dan sanggup menangguhkan pengajian Ijazah Sarjana semata-mata untuk beraksi di Sukan Sea.

"Saya rasa faktor-faktor seperti ini perlu diambil kira," tambahnya.

Tambah Zolkples, jika dipertimbangkan, peluang terakhir mereka adalah pada Kejohanan Terbuka Pahang pada 10 November ini.

"Tarikh akhir senarai penuh ke Sukan Sea pada 15 Nov dan mereka masih ada peluang sekali lagi," katanya.

Sebagai rekod, Noraseela hanya mencatat masa 61.54s untuk tempat kelima, lebih buruk daripada masa 60.16s yang dicatatkan pada saringan kedua pusingan pertama Sukan Olimpik London 2012.

Manakala rekod kebangsaan dia mencatat masa 56.02s pada 2006, memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2003 di Vietnam dengan masa 57.62s, 2009 (Laos) dengan masa 56.99s dan 57.41s pada Sukan SEA 2011 Indonesia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain