suria

FAM Yakin Kafa Mampu Kendali Penonton Ketika Kelantan Menentang ATM

KOTA BARU: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yakin Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) mampu menangani kehadiran ribuan penonton yang dijangka datang untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua kejohanan Piala Malaysia antara Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Sultan Muhammad ke IV Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM Datuk Afandi Hamzah berkata kemampuan itu berdasarkan pengalaman Kelantan yang telah tiga tahun berturut-turut berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir kejohanan.

"Saya rasa Kafa telah melakukan persiapan yang terbaik untuk mengelak sebarang insiden yang tak diingini berlaku semasa perlawanan pertemuan kedua antara pasukan tersebut dengan ATM.

"Lebih-lebih lagi atas pengalaman yang pernah dilalui sebelum ini, banyak perkara yang Kafa telah dapat atasi. Saya difahamkan Kelantan dalam masa terdekat akan mengadakan mesyuarat berhubung keselamatan," katanya.

Kapasiti penonton di Stadium Sultan Muhammad Ke IV ialah 22,000 orang.

Afandi yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Jajahan Kota Baharu (KBFA) ditemui pemberita di sini hari ini selepas menandatangani surat hasrat dengan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Kota Baharu bagi meningkatkan mutu pembangunan bola sepak di daerah itu.

Afandi mengulas laporan yang didakwa sesetengah pihak ada segelintir penyokong Kelantan dan ATM gagal memasuki stadium pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor minggu lepas meskipun mempunyai tiket.

Beliau berkata tiket yang dijual pada perlawanan itu ialah 10,400 keping dan menafikan 16,000 tiket dijual seperti dakwaan.

Mengulas mengenai persiapan Harimau Muda menjelang Sukan SEA di Myanmar pada hujung tahun ini, Afandi yang juga pengurus skuad berkenaan berkata pasukan tersebut kembali menjalani latihan seperti biasa walaupun ada beberapa pemain masih lagi terlibat dengan Piala Malaysia.

"Pemain yang terlibat dengan Piala Malaysia akan terus dipanggil sebaik sahaja pertandingan tersebut tamat. Dijangka pasukan akan berkumpul sepenuhnya selepas sahaja penglibatan mereka dengan pasukan senior pada pertemuan dengan Qatar pada 19 November dalam saingan Piala Asia.

"Mereka ada tempoh 10 hari sebelum berlepas ke Myanmar pada 29 November kerana perlawanan bola sepak akan bermula 1 Disember. Pengundian pula akan berlangsung pada 6 Disember," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain