suria

Persatuan Negeri Perlu Hantar Laporan Integriti Kepada FAM - Hamidin

PUTRAJAYA: Semua persatuan bola sepak negeri perlu menghantar laporan berkaitan masalah integriti yang berlaku di negeri masing-masing sekurang-kurangnya setiap tiga bulan sekali kepada Jawatankuasa Integriti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kesemua laporan daripada persatuan negeri akan dikepilkan bersama untuk dibincangkan secara lebih lanjut dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan.

"Menerusi laporan yang kita terima daripada persatuan negeri, kita bakal mendapat gambaran yang jelas mengenai isu atau permasalahan berkaitan integriti yang berlaku di peringkat negeri masing-masing," katanya.

Hamidin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat khas jawatankuasa berkenaan bersama ahli jawatankuasa integriti peringkat negeri yang dipengerusikan oleh Tan Sri Aseh Che Mat di Pusat Maritim Putrajaya, di sini, Khamis.

Dalam pada itu, Hamidin mendedahkan FAM akan menubuhkan skuad pemantau dalam tempoh terdekat bagi memantau sesetengah perlawanan Liga Malaysia yang dikategorikan 'mencurigakan'.

Katanya, skuad pemantau berkenaan bakal dianggotai oleh wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), wakil persatuan bola sepak negeri serta FAM sendiri.

Pada masa yang sama, Hamidin berkata badan induk bola sepak kebangsaan itu bercadang untuk mengadakan lebih banyak bengkel kesedaran mengenai ancaman rasuah bola sepak dan gejala mengatur perlawanan terutamanya kepada para pegawai dan pemain bola sepak.

"Itu perkara mustahak yang perlu dilakukan oleh FAM (dalam usaha kita mendidik para pemain dan pegawai mengenai bahaya rasuah bola sepak) dan selebihnya kita serahkan kepada PDRM dan SPRM," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Hamidin berkata kesemua pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia bermula tahun depan diwajibkan mengisi borang pengisytiharan harta yang dikepilkan bersama dengan surat kontrak yang bakal ditandatangani oleh pemain berkenaan.

"Bukan sahaja para pemain tetapi para pegawai pasukan (bola sepak negeri) dan pengadil yang terlibat dalam Liga Malaysia juga harus mengisi borang pengisytiharan harta itu...Itu yang kita putuskan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain