suria

Mohd Farkhan Jadi Petinju Profesional

KUALA LUMPUR: Bekas petinju elit negara Mohd Farkhan Haron mengambil keputusan untuk menjadi petinju profesional dengan mengikat kontrak dua tahun dengan sebuah kelab profesional dari Singapura.

Selain menyertai Juggernaut Fight Club, katanya, beliau mengambil promoter dari Australia untuk mengatur perlawanan untuknya di negara berkenaan.

"Saya kini berulang alik dari (kampung halaman) di Johor Baharu ke Singapura untuk menjalani sesi latihan...kalau tidak ada aral melintang, Insya-Allah, saya akan memulakan aksi tinju profesional pertama saya pada Mac tahun depan. "Saya kini berusaha mencari penaja kerana karier baharu ini memerlukan kos yang tinggi," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Mohd Farkhan, yang ditemani pengurus peribadinya Ariff Munajat, berkata keputusan itu dibuat setelah Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) didakwa kurang menganjurkan kejohanan kompetitif di peringkat tempatan.

Beliau mendakwa badan induk tinju kebangsaan itu hanya menganjurkan dua kejohanan sahaja tahun ini iaitu Kejohanan Golden Glove di Negeri Sembilan dan Kejohanan Piala Malaysia di Sabah sebagai medan persiapan barisan petinju kebangsaan menghadapi Sukan SEA di Myanmar, Disember ini.

"Saya tidak nampak kredibiliti PTAM... jika mereka (PTAM) sasarkan tiga emas pada Sukan SEA, mengapa mereka tidak hantar petinju negara ke pertandingan luar sebagai medan pendedahan," katanya.

Petinju berusia 27 tahun itu berkata beliau sudah menghantar surat penarikan diri kepada Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini selain mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong. "MSN yang membantu mengatur perjalanan karier tinju saya selama ini...Datuk Zolkples turut merestui penghijrahan saya dari amatur ke profesional," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Farkhan berkata beliau memutuskan untuk menyaman Setiausaha Kehormat PTAM, Mohamad Jani Ismail kerana menfitnah beliau menerusi beberapa laporan akhbar tempatan.

Beliau turut menafikan kenyataan Mohamad Jani yang mendakwa beliau digugurkan daripada skuad elit kebangsaan selain tidak dapat memberikan komitmen untuk menjalani latihan pusat.

"Saya tidak digugurkan sebaliknya saya sendiri yang membuat keputusan untuk menarik diri," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain