suria

Skuad Angkat Berat Pertaruh Dua Atlet Wanita Ke Poland

KUALA LUMPUR: Dua atlet angkat berat wanita negara, Sharifah Inani Najwa Syed Ahmad dan Nor Jannah Batrisya akan menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Angkat Berat Dunia di Warsaw, Poland mulai 18 hingga 23 Oktober.

Penolong jurulatih negara, Mohamad Faisal Baharom berkata penyertaan kedua-dua atlet berkenaan adalah bagi memberi pendedahan kepada mereka bersaing pada kejohanan kompetitif sebelum menghadapi kejohanan lebih penting seperti Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, tahun depan.

Beliau berkata penghantaran atlet terbabit ke kejohanan tersebut juga adalah bagi menguji kemampuan mereka berikutan kurangnya penyertaan pada kejohanan antarabangsa tahun ini.

"Kita harap Sharifah Inani Najwa dan Nor Jannah mampu melakukan angkatan terbaik di sana dengan memperbaharui rekod kebangsaan ataupun setidak-tidaknya mengatasi angkatan terbaik peribadi mereka," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohamad Faisal berharap kejohanan tersebut dapat membantunya mengukur kemampuan sebenar anak didiknya kerana semua negara yang mengambil bahagian menghantar atlet terbaik mereka.

"Kejohanan itu merupakan satu kejohanan penting dan bertaraf tinggi, oleh itu kita telah melakukan persiapan sejak dari awal bagi memastikan atlet kita benar-benar bersedia untuk beraksi di sana," katanya.

Beliau berharap anak didiknya yang akan berlepas ke Poland malam ini, dapat menggunakan sebaik mungkin peluang tersebut untuk mempelajari sesuatu yang baharu terutama apabila menghadapi kejohanan lebih besar pada masa akan datang.

Pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India, skuad angkat berat negara berjaya meraih dua pingat emas menerusi Amirul Hamizan Ibrahim dalam acara 56kg lelaki dan Aricco Jumith yang mengungguli acara 62kg lelaki.- BERNAMA

Artikel Lain