suria

Jazeman Mahu Akhiri Musim Dengan Kutipan Mata Di Litar Catalunya

KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Jazeman Jaafar berazam mahu mengutip mata menjelang saingan pusingan akhir Kejuaraan Siri Dunia Formula Renault 3.5 di Litar Catalunya, Barcelona, Sepanyol, pada hujung minggu ini.

"Barcelona merupakan salah satu daripada litar kegemaran saya dan telah mencapai beberapa keputusan baik di situ.

"Berikutan itu saya mahu menamatkan musim ini dengan mengutip mata yang lebih baik di litar berkenaan," kata pelumba pasukan Carlin itu dalam kenyataan di sini, Rabu.

Jazeman, pelumba daripada Program Bakat Petronas, telah menamatkan lapan pusingan siri dunia itu pada penampilan sulung musim ini.

Beliau pernah berlumba di Litar Catalunya lebih tiga tahun lepas semasa beraksi dalam dua musim perlumbaan Formula BMW Eropah dengan beberapa keputusan baik termasuk menaiki podium pada perlumbaan pertama dalam musim kedua.

Beliau kali terakhir beraksi di litar tersebut ialah pada Oktober tahun lepas apabila mencatatkan masa keenam terpantas dalam sesi ujian rasmi kejuaraan tersebut. BERNAMA

Artikel Lain