suria

Nicol Mara Separuh Akhir Skuasy Terbuka AS

KUALA LUMPUR: Juara dunia tujuh kali, Datuk Nicol Ann David menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat 2013 pada Selasa.

Pada perlawanan peringkat suku akhir pertama yang diadakan di gelanggang kaca di Kline and Specter Squash Center di Drexel University, Philadelphia, pemain berusia 30 tahun itu hanya mengambil masa 34 minit untuk menewaskan pemain Ireland, Madelline Perry dengan straight set 12-10, 11-2 dan 11-3.

"Saya tahu saya mesti berhempas-pulas dari awal. Madeline sangat kuat di posisi tengah dan beliau memaksa saya berlari banyak kali jadi saya harus bekerja keras untuk mengatasinya," kata Nicol yang dipetik dari laman sesawang rasmi kejohanan www.usopensquash.com.

Nicol, pemain nombor satu dunia, akan bertemu pemain New Zealand Joelle King, yang turut mara ke perlawanan separuh akhir, selepas menewaskan pilihan keempat Alison Waters dari England.

Joelle memenangi perlawanan dengan straight set 11-6, 11-6 dan 11-4 dalam masa 34 minit.

Sementara itu, perlawanan suku akhir kedua kategori wanita melibatkan pemain nombor dua negara, Low Wee Wern dengan pemain Mesir Raneem El Weleily serta Kasey Brown (Australia) dan Laura Massaro (England), akan diadakan pada 5 petang waktu tempatan (5 pagi waktu Malaysia). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain