suria

Jurulatih Baharu T-Team Akan Diumum Minggu Depan

KUALA TERENGGANU: Jurulatih baharu yang akan membimbing pasukan berstatus kelab T-Team pada saingan Liga Malaysia musim depan akan diketahui minggu depan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Rashid Jusoh.

Beliau berkata perbincangan dengan jurulatih berkenaan kini dalam proses akhir dan dijangka dimuktamadkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) minggu depan.

"Kita tunggu pengumuman minggu depan. Antara jurulatih yang dalam pencarian kami ialah seorang jurulatih luar negara yang masih melatih sebuah pasukan negeri," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Rashid berkata T-Team juga menyenaraikan beberapa nama jurulatih tempatan yang dilihat mampu memberikan suntikan serta meningkatkan prestasi pasukan The Titans daripada menjadi pasukan belasahan dalam saingan Liga Super seperti yang terjadi musim ini.

Dalam perkembangan sama Rashid berkata lebih 40 peratus pemain The Titans musim ini telah ditamatkan kontraknya dan kebanyakan daripada mereka bukan anak tempatan.

"Kami juga sedang memburu beberapa pemain pasukan Harimau Muda yang sudah tamat kontrak bagi melengkapkan pasukan kami," katanya.

T-Team menghuni tangga ke-10 daripada 12 pasukan sekaligus terselamat daripada penyingkiran ke Liga Perdana musim depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain