suria

SIC Cipta Sejarah Kedatangan Penonton

SEPANG: Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali menganggap kehadiran pengunjung ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Ahad adalah sejarah baharu.

Razlan berkata, sepanjang Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) dianjurkan, inilah kali pertama jumlah pengunjung yang hadir pada hari perlumbaan melebihi sasaran.

"Kami sasarkan 80,000 pengunjung akan hadir, tetapi sangat menakjubkan pada hari ini (Ahad) jumlah kehadiran ialah 84,250.

"Dan buat julung kalinya juga Hillstand dipenuhi penonton, seperti yang berlaku ketika perlumbaan Formula Satu. Malah sebanyak 80,000 tiket telah dijual pada Rabu lalu.

"Ini satu situasi yang bagus dan sudah tentu kami berasa gembira dengan sambutan ini," ulasnya kepada media mengenai kehadiran penonton ke SIC tahun ini.

Jelasnya, selain keadaan cuaca yang baik pada sesi perlumbaan ini dan tiket yang tidak terlalu mahal, sudah tentu pelumba-pelumba tempatan memainkan peranan penting.

"Penglibatan ramai pelumba negara antara tarikan penonton tahun ini. Selain itu, sudah tentu aksi Dani Pedrosa serta Valentino Rossi yang mempamerkan perlumbaan menarik antara faktor utama.

"Dan dengan sambutan baik ini, saya mensasarkan 90,000 penonton pada hari perlumbaan MotoGP tahun depan. Setiap tahun kami ada sasaran sendiri," tambahnya.

Secara keseluruhan tahun ini SIC mensasarkan jumlah pengunjung seramai 130,000 untuk tiga hari. Walaupun tidak mencapai sasaran keseluruhan, jumlah tiket yang dijual pada Ahad telah melebihi sasaran.

Jumlah pengunjung:

Jumaat: 8,345

Sabtu: 34,322

Ahad: 84,250 (sasaran 80,000)

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain