suria

Malaysia Jadi Hos Dua Acara Ironman 2014

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menganjurkan dua perlumbaan Ironman baharu tahun depan, Ironman 70.3 Putrajaya pada 12-13 April, dan Ironman Malaysia pada 27 Sept di Langkawi.

World Triathlon Corporation (WTC) dan Malaysia Major Events (MME), satu bahagian Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, mengumumkan pelancaran dua acara itu di Kailua-Kona Hawaii Khamis ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Zulkefli Sharif, berkata menganjurkan acara Ironman adalah satu peluang istimewa. Kali terakhir acara ini diadakan di Asia Tenggara ialah tiga tahun lalu dan dengan Malaysia ia mempunyai sejarah yang panjang di rantau ini.

Beliau berkata, Malaysia menanti-nantikan ketibaan para atlet daru seluruh dunia dengan mesra dan pengalaman kebudayaan unik 'Malaysia–Truly Asia'.

Ironman Malaysia ialah satu daripada 32 perlumbaan kelayakan dalam litar Ironman global yang kemuncaknya ialah Kejohanan Ironman Dunia di Hawai setiap Oktober. Ironman Malaysia akan menawarkan 40 slot kelayakan bagi Hawaii pada 2015.

Ironman 70.3 Putrajaya ialah satu daripada 60 acara di seluruh dunia yang melayakkan para athlet bagi Kejohanan Ironman 70.3 Dunia.

Zulkefli berkata atlet profesional akan bersaing bagi mendapatkan hadiah wang tunai sebanyak US$40,000 bagi Ironman Malaysia dan US$15,000 bagi Ironman 70.3 Putrajaya.

Penyertaan dalam talian bagi kedua-dua acara akan dibuka pada 7 Nov. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain