suria

Pedrosa Teruskan Dominasi di Sesi Latihan Ketiga

SEPANG: Penunggang Repsol Honda Team, Dani Pedrosa meneruskan penguasaannya dalam sesi latihan bebas ketiga Grand Prix Motosikal Malaysia 2013, di Litar Sepang di sini, Sabtu.

Pelumba Sepanyol berusia 28 tahun itu mencatat masa dua minit 0.877 saat, iaitu 0.046 saat lebih pantas daripada rakan senegara Jorge Lorenzo, penunggang pasukan Yamaha Factory Racing.

Rakan sepasukan Lorenzo dan juara dunia enam kali Valentino Rossi pula mencatat masa ketiga terpantas dengan 2:00.970s, iaitu hanya 0.093 saat di belakang pendahulu.

Latihan berlangsung dalam keadaan kering dengan bacaan suhu pada 27 darjah Celcius manakala permukaan litar pula 33 darjah.

Untuk musim tahun ini akan ada sesi latihan keempat bagi kelas MotoGP yang berlangsung selama setengah jam bermula 1.30 petang ini, manakala sesi kelayakan untuk kelas itu dijadualkan bermula pukul 2.10 petang.

Terdahulu dalam kelas Moto3, pendahulu kejohanan Luis Salom dari Sepanyol yang menunggang untuk pasukan Red Bull KTM Ajo merekodkan masa terpantas dengan 2:13.28s.

Mengekori beliau dengan perbezaan masa 0.495 saat ialah pelumba Jerman Jonas Folger (Mapfre Aspar Team Moto3) dengan catatan 2:13.775s, manakala penunggang pasukan Team Calvo, Maverick Vinales dari Sepanyol yang mencatat 2:13.927s di tempat ketiga.

Penunggang Malaysia bagi kategori itu Muhammad Zulfahmi Khairuddin yang mencatat 2:15.471s berada di tempat ke-15, manakala dua pelumba 'wildcard' Amirul Hafiq Azmi dan Husni Aizat Abdul Malik masing-masing di kedudukan ke-17 dan 34.

Dalam kelas Moto2, pelumba Sepanyol, Esteve Rabat daripada pasukan Tuenti HP 40 mencatat masa terpantas dengan 2:07.707s.

Penunggang 'wildcard' Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah daripada pasukan Petronas Raceline Malaysia di tempat ke-17 dengan masa terbaiknya 2:09.529s.

Sesi kelayakan untuk Moto3 akan berlangsung pada pukul 12.35 tengah hari selama 40 minit manakala kelas Moto2 dijadualkan bermula pukul 3.05 petang untuk 45 minit. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain