suria

MotoGP: Zulfahmi Baiki Kedudukan, Salom Tempah Petak Pertama

Pelumba Red Bull KTM Ajo, Luis Salom (Moto3) berjaya mencatat masa terpantas dengan 2 minit 13.867 saat pada sesi kelayakan dalam perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia 2013 di Litar Antarabangsa Sepang di Sepang, Sabtu. Foto BERNAMA
Pelumba Red Bull KTM Ajo, Luis Salom (Moto3) berjaya mencatat masa terpantas dengan 2 minit 13.867 saat pada sesi kelayakan dalam perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia 2013 di Litar Antarabangsa Sepang di Sepang, Sabtu. Foto BERNAMA
Pelumba Red Bull KTM Ajo, Luis Salom (Moto3) berjaya mencatat masa terpantas dengan 2 minit 13.867 saat pada sesi kelayakan dalam perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia 2013 di Litar Antarabangsa Sepang di Sepang, Sabtu. Foto BERNAMA

SEPANG: Pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin berjaya membaiki kedudukan pada sesi kelayakan MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang ( SIC), Sabtu.

Zulfahmi berada di tempat ke -14 sekaligus memberi keputusan yang positif berbanding dengan tiga keputusan latihan bebas pertama, kedua (tempat ke-20) manakala latihan ketiga pagi Sabtu di tempat ke-16.

Penunggang pasukan Red Bull KTM Ajo ini mencatat 2 minit 15 saat dengan 12 lap.

"Hari yang boleh dikatakan sangat bagus jika dibandingkan dengan semalam memang saya di berada ke-20. Hari ini (Sabtu) semuanya berjalan lancar.

"Cuma trek ada sedikit basah di beberapa selekoh. Jadi saya berbincang dengan pasukan untuk berada di kotak pit lebih lama sikit untuk tunggu trek kering," jelasnya kepada media.

Zulfahmi menjelaskan, keadaan belakangnya juga agak baik berbanding sebelum ini.

"Walaupun saya terpaksa menahan sedikit kesakitan setiap kali berada di selekoh, saya berjaya melakukannya dengan baik.

"Mengenai masa yang dibuat pada pusingan kelayakan ini, saya juga teruja kerana ia jauh berbeza dengan catatan yang dilakukan pada sesi latihan bebas pada Jumaat.

"Untuk perlumbaan Ahad ini, jika dapat berada dalam kelompok terbaik itu sudah cukup buat saya," tambahnya.

Sementara itu, dua lagi pelumba negara yang turut beraksi dalam kategori ini, Amirul Hafiq Azmi dan Husni Aizat Malik masing-masing meraih kedudukan ke-32 dan 33.

Keadaan litar basah dan kering akibat hujan renyai-renyai menyebabkan kedua-dua pelumba ini gagal mencari keserasian dengan tayar yang digunakan.

"Agak lambat untuk membiasakan diri setiap kali tayar ditukar kerana keadaan litar yang basah dan sebahagiannya kering.

"Saya sedar kedudukan itu terlalu di belakang, namun saya akan cuba merapatkan diri dalam kumpulan depan pada perlumbaan sebenarnya nanti.

"Saya mahu perbaiki kedudukan, sekurang-kurang di kelompok 29 pelumba," jelas Husni, 19 tahun.

Manakala Amirul yang lebih kelihatan kecewa dengan keputusan kelayakan ini akan cuba mencatat masa yang lebih baik pada perlumbaan Ahad ini.

"Rasa tidak yakin pada ketika menunggang pagi tadi kerana trek yang tidak menentu. Bagaimanapun saya akan cuba melakukan yang lebih baik, memperbaiki catatan masa," jelas pelumba pasukan Touchline-SIV- AJO ini.

Dalam pada itu, rakan sepasukan Zulfahmi, Luis Salom menguasai petak pertama pada pusingan kelayakan ini.

Salom sebelum ini turut berada di kedudukan teratas sejak latihan bebas pertama dan mengekalkan posisi itu walaupun dicabar sengit oleh pelumba pasukan Ongetta-Rivacold dari Perancis, Alexis Masbou.

Tempat ketiga diraih oleh pelumba Go&Fun Gresini Moto3 dari Itali, Niccolo Antonelli, keempat Miguel Oliveira (Mahindra Racing) dan kelima, Alex Marguez (Estrella Galicia).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain