suria

Lexi Thompson Pendahulu LPGA Sime Darby Di Pusingan Ketiga

KUALA LUMPUR: Pemain Amerika Syarikat Lexi Thompson mengambil alih selaku pendahulu pertandingan, daripada pemain Korea Selatan Ilhee Lee, dengan tiga pukulan pada kejohanan LPGA Sime Darby di Kuala Lumpur Golf & Country Club di sini, Sabtu.

Pemain nombor 21 dunia itu membuat lima birdie tanpa melakukan sebarang bogey untuk mencatat lima bawah par 66 dengan mengumpul keseluruhan mata tiga pusingan sebanyak 17 bawah par 196.

"Saya yakin dapat mengambil alih pendahulu kumpulan pada pusingan hari ini. Apabila kita membuat beberapa birdie, kita akan merasa lega dan cuba mengekalkan permainan yang baik.

"Tiada perbezaan dengan permainan saya yang pertama. Apa yang saya lakukan ialah hanya fokus pada permainan dan berada di atas. Saya suka bermain di sini kerana terdapat ramai peminat dan lapangan di sini juga baik," kata pemain berusia 18 tahun ini yang berazam menjulang kejuaraan.

Lee yang mendahului dua pusingan sebelum ini hanya menduduki tangga kedua selepas membuat bogey pada lubang kedua dan kesembilan untuk melakukan satu bawah par 70 dan mengumpul mata keseluruhan 14 bawah par 199.

"Saya fikir saya mencuba terlalu bersungguh-sungguh untuk mengelak melakukan bogey hari ini tetapi ia tidak berhasil. Pukulan saya tidak baik tetapi saya tahu sukar untuk bermain empat hari berturut-turut, jadi hari ini adalah hari paling baik buat saya.

"Saya tahu ia akan merupakan hari penting esok dan saya akan cuba bergembira di pusingan akhir," kata pemain nombor 39 dunia itu.

Pemain nombor dua dunia Suzann Pettersen dari Norway berada di kedudukan ketiga, mengambil tempat pemain China, Shanshan Feng selepas membuat birdie empat lubang tanpa melakukan bogey untuk mengumpul mata keseluruhan 11 bawah par 202.

Juara bertahan dan pemain nombor satu dunia Inbee Park dari Korea Selatan turut memperbaiki kedudukan dengan berada di tangga ke-28 bersama tiga lagi pemain setelah membuat birdie di lubang empat dan 11, mengumpul mata keseluruhan tiga bawah par 210. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain