suria

Pemain Korea Selatan Menyinar Dalam Pusingan Pertama

KUALA LUMPUR: Pemain golf Korea Selatan, Ilhee Lee membuat kejutan dan mencuri perhatian pada pusingan pertama Kejohanan Golf Sime Darby LPGA Malaysia 2013 selepas membuat pukulan tujuh di bawah par 64 untuk mendahului pada kejohanan yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf and Country Club di Bukit Kiara, di sini, Khamis.

Juara remaja Asia Pasifik 2004 yang membuat kemunculan kedua dalam kejohanan yang menawarkan hadiah AS$2 juta (RM6.391 juta) mencatat pukulan terbaik dengan tujuh birdie selain mencatat par yang sama dalam 11 lagi lubang.

"Sasaran saya ialah tiga di bawah par setiap hari minggu ini," kata Lee yang terikat pada kedudukan ke-16 dalam percubaannya pada kejohanan tahun lepas.

Ketinggalan satu mata di belakang Lee ialah Brittany Lang dari Amerika Syarikat yang mencatat enam di bawah par 65 untuk berada di tempat kedua.

"Saya bermain dengan baik dan ini adalah hari yang mengembirakan bagi saya. Saya tidak membuat terlalu banyak kesilapan dan membuat pukulan dengan baik.

"Untuk (pusingan kedua) esok, saya mungkin tidak akan menukar corak permainan saya terlalu banyak tetapi apa yang saya perlu ialah minum dan makan secukupnya untuk bertahan dalam cuaca padang yang panas," kata pemain berusia 28 tahun itu.

Sementara itu, juara bertahan Inbee Park dari Korea Selatan menunjukkan permainan yang agak mengecewakan selepas hanya mampu memperoleh satu di bawah par 70 untuk berada di tempat ke-28 bersama 10 pemain lain termasuk pemain Malaysia, Michelle Koh yang bermain di bawah jemputan penaja.

Pada permainan hari ini, pemain Korea Selatan berusia 25 tahun yang bermula agak baik itu memperoleh bogey pada lubang ketiga dan kelima.

"Saya rasa cuaca yang panas hari ini menyebabkan saya sukar menumpukan perhatian," katanya. "Saya memperoleh kejayaan dalam tahun kebelakangan ini seperti di Thailand tahun ini selain dua kali di sini pada tahun lepas, jadi saya akan terus mencuba," kata pemain yang menyasarkan untuk memperoleh gelaran Anugerah Pemain Terbaik tahun ini.

Tiga lagi pemain Malaysia Aretha Pang Herng, Cindy Lee Pridgen dan Ainil Johani Abu Bakar yang bertanding di bawah jemputan penaja, menunjukkan persembahan kurang memuaskan selepas berada di tangga terbawah dalam senarai kedudukan pemain.

Cindy Lee Pridgen membuat pukulan tiga di atas par 74 untuk berada di tempat ke-58 bersama-sama empat pemain lain manakala Aretha mencatat enam di atas par 77 untuk berkongsi tempat ke-69 dengan pemain Scotland Carly Booth.

Ainil Johani pula berada pada kedudukan paling bawah selepas memperoleh tujuh bogey dan empat bogey berganda untuk memungut mata keseluruhan 15 di atas par 86. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain