suria

Laporan Jawatankuasa Disiplin Pafa Diserah Esok

IPOH: Laporan siasatan Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) berhubung pegawai dan petugas pasukan Liga Super negeri yang disyaki terlibat dalam elemen sabotaj dan rasuah akan diserahkan kepada anggota majlis persatuan itu, esok untuk tindakan lanjut.

Presiden Pafa Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata keputusan yang akan dibuat adalah berdasarkan keputusan mesyuarat khas Pafa yang akan diadakan esok.

"Saya meminta kepada jurulatih dan pemain supaya melihat perkara ini dari sudut positif kerana bermacam-macam andaian yang cuba ditimbulkan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Pada 23 Sept lepas, Pafa menggantung kesemua pegawai dan petugas pasukan Liga Super Perak selama dua minggu selepas mengesyaki berlaku elemen rasuah dan sabotaj dalam skuad itu dan penggantungan itu kemudian disambung sehingga ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

Laporan turut dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis untuk menyiasat kemungkinan berlaku rasuah dan sabotaj berikutan siri kekalahan pasukan itu dalam saingan Piala Malaysia.

Dalam perlawanan peringkat Kumpulan D bagi saingan Piala Malaysia, Perak mencatat tiga kekalahan iaitu tewas kepada Kedah 0-1 pada 17 Sept, kalah kepada Lions XII 1-2 (31 Ogos) dan kalah teruk iaitu 1-6 kepada Sarawak (21 Sept) sekali gus gagal ke peringkat suku akhir.

Zainol Fadzi berkata setakat ini, Pafa belum menerima laporan hasil siasatan daripada SPRM.

Beliau berkata sekiranya dibuktikan tidak ada unsur sabotaj atau rasuah, sudah tentu nilai pegawai dan pemain akan dipandang lebih tinggi oleh pasukan lain yang ingin mengambil mereka dalam musim akan datang. "Apa yang penting adalah untuk memberi imej yang bersih kepada Pafa dan pasukan Liga Super. Secara tidak langsung menunjukkan betapa seriusnya Pafa menangani isu ini kerana kita tidak setakat bercakap tanpa mengambil apa-apa tindakan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulfahmi Ceria Boleh Berlumba

Artikel Lain