suria

Fauzan Juarai Pusingan Kedua Perlumbaan Siri Kriterium SapuraKencana-SIC

SEPANG: Pelumba kebangsaan Mohd Fauzan Ahmad Lutfi menjuarai kategori lelaki elit bagi perlumbaan berbasikal Siri Kriterium SapuraKencana-SIC pusingan kedua yang berlangsung di Trek Selatan Litar Sepang pada Ahad.

Pelumba mewakili pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berkongsi kemenangan dengan rakan sepasukan Nik Mohd Azuan Zulkifli di tempat kedua dengan catatan masa yang sama iaitu 1 jam 26 minit satu saat dalam perlumbaan melibatkan 11 pusingan.

Tempat ketiga milik pakar pecut negara Mohd Hariff Salleh yang mewakili Terengganu Cycling Team (TSG) dengan catatan masa 1:27:26s.

"Hari ini sasaran saya memang mahu menang, berlumba di trek Litar Sepang sangat mencabar sebab angin kuat tetapi ia lebih selamat (berbanding berlumba di jalan raya). "Perlumbaan ini juga merupakan persediaan sekiranya terpilih untuk mewakili negara di Sukan SEA nanti. Perlumbaan ini saya gunakan untuk meningkatkan kekuatan dan juga kelajuan, khususnya dalam persediaan untuk berlumba dalam kategori ujian masa individu pada Sukan SEA.

"Bagi saya, promosi perlumbaan Siri Kriterium seperti ini perlu diperhebatkan lagi, ia satu perlumbaan yang bagus kerana keselamatan yang lengkap serta selamat," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, bekas pemenang pingat emas Sukan SEA Manila edisi 2005 Noor Azian Alias ternyata masih berbisa untuk meraih kemenangan dalam kategori Terbuka Wanita dengan catatan masa 49:58s memintas anak didiknya, Lauretta Eva Adrian di tempat kedua dengan perbezaan masa hanya 0.113s.

Tempat ketiga milik Nurul Suhada Zainal dengan masa 49:58s.

"Saya tidak menyasarkan kemenangan ini, penyertaan saya kali ini adalah untuk memberi pendedahan kepada anak didik saya iaitu Lauretta dan Nurul Suhada supaya mereka lebih berani dan matang dalam menghadapi perlumbaan pada masa akan datang," kata jurulatih skuad berbasikal pelapis wanita Majlis Sukan Negara itu.

KEPUTUSAN: - LELAKI ELIT:

1. Mohd Fauzan Ahmad Lutfi 1 jam 26 minit satu saat

2. Nik Mohd Azuan Zulkifli 1:26:01s

3. Mohd Ariff Salleh 1:27:26s

TERBUKA WANITA:

1. Noor Azian Alias 49:58s

2. Lauretta Eva Adrian 49:58s (0.113s) 3. Nurul Suhada Zainal 49:58s (0.123s)

TERBUKA LELAKI:

1. Mohd Khairul Adha Rosul 59:04s

2. Faiz Izzudin 59:05s

3. Yahya Abas 59:05s (0:01s)

REMAJA WANITA:

1. Nor Azian Maslin 50:01s

2. Sian Wilson 50:01s (0.108s) 3. Nurjeha Iwani Roslan 50:14s

REMAJA LELAKI:

1. Low Jin Ming 59:08s

2. Mohd Aele Shafri Rusli 59:08

3. Mohd Afiq Huznie Othman 59:32s

LELAKI VETERAN:

1. Nor Effandy Rosli 25:45s

2. Michael Duane 25:46s (0:01s) 3. Wong Ah Thiam 25:47s -BERNAMA

Artikel Lain