suria

T-Team Kekal 50 Peratus Pemain Musim Lepas

KUALA TERENGGANU: Pasukan bola sepak berstatus kelab, T-Team mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus pemain anak Terengganu bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan.

Penolong pengurus pasukan, Mohamad Sekanther Hamid berkata, antara pemain yang dikekalkan ialah Marzuki Yusof, Hasan Basri, Hasbullah Awang, Muin Nurdin dan Wan Alif Zainal Abidin.

"Lima puluh peratus lagi pemain, kita akan ambil daripada pasukan-pasukan negeri ataupun kelab di negara ini," katanya kepada Bernama di sini Sabtu.

Mohamad Sekanther berkata, pihak pengurusan tertinggi T-Team telah mengenalpasti pemain-pemain berkenaan dan kini sedang mengadakan rundingan dengan mereka.

Beliau berkata, T-Team turut membuat tawaran kepada pemain-pemain anak Terengganu yang berada dalam pasukan di luar Terengganu dan terpulang kepada mereka sama ada menerima atau menolak tawaran itu.

T-Team juga telah menyenaraikan tiga nama jurulatih yang bakal dipilih untuk mengendalikan pasukan itu tahun depan dengan seorang daripada mereka adalah jurulatih luar negara dan pernah membimbing pasukan negara berkenaan.

"Keputusan muktamad jurulatih ini akan dibuat oleh majlis tertnggi T-Team dalam mesyuaratnya dalam masa terdekat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain