suria

Terbuka Carol Weymuller: Nicol, Wee Wern Lepasi Halangan Pertama

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara Datuk Nicol David memulakan kempen memburu gelaran sulung Terbuka Carol Weymuller 2013 dengan mengatasi Donna Urquhart di New York, Amerika Syarikat, Jumaat.

Bagaimanapun, Nicol, selaku pilihan utama, terpaksa menghadapi tentangan sengit sebelum mengalahkan pemain Australia itu dengan keputusan, 11-8, 11-6 dan 11-4.

Mengulas kejayaan tersebut, pemain nombor satu dunia itu berkata beliau gembira dengan prestasinya walaupun melakukan beberapa kesilapan pada set pertama.

"Saya mula memperkemaskan corak permainan pada akhir set pertama dan kemudian mengekalkan prestasi mantap pada dua set berikutnya," kata Nicol seperti dipetik dalam laman web kejohanan itu, www.squashsite.co.uk.

Pada pusingan suku akhir, Nicol akan berdepan dengan pemain bukan pilihan, Dipika Pallikal, selepas pemain India itu mengejutkan pilihan kelapan, Kasey Brown dari Australia dengan keputusan 6-11, 10-12, 13-11, 11-8 dan 11-9.

Nicol, juara dunia sebanyak tujuh kali, tidak pernah menjuarai kejohanan itu sejak diperkenalkan pada 2009. Pada edisi pertama, Nicol tersingkir di peringkat separuh akhir dan gagal di peringkat suku akhir tahun lepas.

Beliau tidak mengambil bahagian pada edisi 2010 dan 2011.

Sementara itu, pemain negara Low Wee Wern turut mengiringi Nicol ke peringkat suku akhir selepas mengalahkan pemain daripada pusingan kelayakan, Nicolette Fernandes dari Guyana dengan keputusan 13-11, 11-7, 4-11 dan 11-3.

Wee Wern, 23, bagaimanapun menghadapi laluan getir di suku akhir apabila berdepan dengan pilihan kedua, Laura Massaro dari England.

Laura, yang juga pemain nombor dua dunia, mengalahkan pemain daripada pusingan kelayakan, Aisling Blake dari Ireland dengan keputusan 11-4, 11-7 dan 11-6.

Kejohanan tersebut menawarkan hadiah wang tunai US$50,000 (RM158,811). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain