suria

Nicol Jumpa Raneem Pada Separuh Akhir, Wee Wen Terkeluar

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara Datuk Nicol David menepati ramalan apabila melangkah ke separuh akhir Terbuka Carol Weymuller 2013 di New York, Amerika Syarikat, Sabtu.

Bagaimanapun, rakan senegara Low Wee Wern tidak bernasib baik apabila terkandas di peringkat suku akhir di tangan pemain pilihan kedua Laura Massaro dari England dengan keputusan 8-11, 10-12 dan 6-11.

Pemain nombor satu dunia, Nicol tidak menghadapi masalah untuk menumpaskan pemain bukan pilihan Dipika Pallikal dari India dengan keputusan 11-7, 11-5 dan 11-4.

Nicol berkata, beliau gembira untuk meneruskan cabaran dalam kejohanan bernilai US$50,000 (RM158,811) itu dan tidak sabar untuk perlawanan separuh akhir menentang bintang Mesir, Raneem El Weleily.

Raneem, pilihan ketiga, menempah tiket separuh akhir dengan mengalahkan pilihan kelima, Joelle King dari New Zealand dengan keputusan 11-6, 11-7 dan 11-9.

Dalam pada itu, Massaro akan berdepan dengan pemain bukan pilihan Camille Serme dari Perancis pada saingan separuh akhir.

Sebelum itu, Serme mengejutkan pemain pilihan ketujuh, Jenny Duncalf dari England dengan keputusan 11-7, 11-7 dan 11-7 dalam saingan suku akhir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain