suria

Syazwan Yakin Gelar Pelumba F1 Sebelum Usia 25 Tahun

KUALA TERENGGANU: Pelumba go-kart negara Syazwan Mohd Noor optimis dengan sasaran untuk menjadi pemandu Formula One (F1) sebelum mencecah usia 25 tahun.

Pelumba berusia 17 tahun itu berkata keyakinan tersebut bersandarkan pencapaian beliau sebagai juara dalam beberapa siri perlumbaan termasuk dua daripada lima pusingan Kejohanan Rotax Max Challenge (RMC) Asia tahun lepas.

Pada tahun ini, katanya, beliau dinaik taraf sebagai pelumba senior selepas menjadi pelumba junior pada usia 12 hingga 16 tahun bersama pasukan Art Grand Prix Asia.

Dalam enam pusingan Rotax Max Challenge (RMC) Malaysia 2013, beliau menjadi naib juara kategori senior dengan ketinggalan 11 mata di belakang juara Gilbert Ang daripada pasukan Simon Racing yang mengumpul 498 mata.

Dalam siri RMC Asia 2013, Syazwan turut menghuni tangga kedua dengan mengumpul 464 mata, ketinggalan 10 mata di belakang Gilbert.

"Belum ada mana-mana pelumba senior yang berjaya digelar juara dalam musim pertama dan saya yakin akan merangkul beberapa siri perlumbaa pada musim depan," katanya.

Syazwan berkata beliau telah meletakkan sasaran untuk menjuarai RMC Asia dan RMC Malaysia tahun depan, sekali gus mewakili negara pada Rotax Grand Final 2014 di Amerika Syarikat.

Menurutnya beliau yakin akan memperoleh gelaran juara pada kejohanan yang diceburi dalam masa setahun ini walaupun baru bergelar pelumba senior.

"Saya mengimpikan untuk memandu kereta formula dalam masa tiga hingga lima tahun lagi sebelum menjadi pelumba F1," katanya yang menceburi sukan itu ketika berusia lapan tahun dan menjadikan bekas juara dunia F1 sebanyak tujuh kali, Michael Schumacher sebagai idolanya.

Walaupun banyak menghabiskan masa di litar, pencapaian akademik tetap menjadi keutamaan dan ini terbukti apabila beliau memperoleh 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mendapat 8A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

Bulan depan, Syazwan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan beliau berazam untuk mencapai keputusan yang cemerlang.

Anak ketiga dari 11 orang adik beradik ini juga mendapat sokongan yang sepenuhnya dari bapanya, Mohd Noor Mohd Arifin, 52 yang menjadi tulang belakang pada kejayaan beliau.

"Bapa saya banyak menghabiskan wang, masa dan tenaga bagi memastikan kemenangan saya di setiap kejohanan...saya tidak mempunyai penaja tetap, jadi bapa saya yang banyak mengeluarkan belanja sendiri pada setiap kejohanan yang saya sertai.

Katanya beliau bersyukur sekiranya ada pihak yang sudi menjadi penaja tetap dalam usahanya menjadi pelumba bertaraf dunia.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain