suria

Piala Malaysia: Polis Perketat Kawalan Di Stadium Sultan Muhammad IV

KOTA BAHARU: Polis Kelantan akan menugaskan 500 anggota untuk mengawal keselamatan sempena perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata ia termasuk 100 anggota sukarelawan simpanan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan turut dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

"Kita juga akan mengadakan pemeriksaan badan terhadap semua penonton di 11 pintu masuk stadium pada hari perlawanan bagi memastikan tiada barangan terlarang seperti mercun atau senjata dibawa masuk," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Rekrut Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, Khamis.

Jalaluddin menegaskan langkah keselamatan telah dibincangkan dengan rapi dan kekuatan anggota yang ditugaskan adalah mencukupi bagi menangani sebarang kemungkinan insiden.

"Kita akan menjaga keselamatan bukan sahaja dalam stadium, malah di kawasan luar. Saya harap penyokong daripada kedua-dua pasukan akan berkelakuan baik atau berdepan tindakan," katanya.

Perlawanan antara juara treble Kelantan menentang Johor DT, menimbulkan polemik dalam kancah bola sepak negara apabila pertemuan antara kedua-dua pasukan sering mengundang isu keselamatan, di kedua-dua belah pihak.

Pada pertemuan pertama 15 Jan lepas dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, penyokong Kelantan didakwa membaling mercun dan objek ke arah padang sehingga menyebabkan perlawanan terhenti beberapa minit.

Selain itu, tindakan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang didakwa membawa beberapa anggota Grup Gerak Khas (GGK) berkawal dengan lengkap bersenjata M-16 ketika aksi perlawanan yang berkesudahan seri 1-1, menimbulkan kemarahan penyokong tuan rumah sehingga menyebabkan berlaku kekecohan selepas perlawanan.

Bagaimanapun, Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan kehadiran anggota komando yang berpangkalan di Kem Iskandar, Mersing itu bukan untuk mengawal atau menjaga pasukan Johor DT, sebaliknya sebagai Prosedur Operasi Standard berikutan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilapor berangkat menyaksikan perlawanan pada malam itu.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain