suria

Badminton:BAM-BKA Jalin Kerjasama

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan kerjasama dengan Persatuan Badminton Korea ( BKA) dalam melahirkan lebih ramai pemain berkaliber di peringkat dunia.

Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Aliff berkata, perancangan kerjasama ini telah lama dibincangkan, tetapi baharu sekarang ia dilaksanakan.

"Badminton merupakan sukan yang mendapat perhatian di Malaysia, begitu juga di Korea.

"Tetapi apa yang penting, Korea telah membuktikan mereka berkuasa dalam beberapa jenis sukan yang lain termasuk hoki dan juga sepak takraw sekaligus ia membuktikan sesuatu yang menarik ada dengan Korea.

"Dengan adanya kerjasama ini, kami boleh membantu antara satu sama lain dalam meningkatkan lagi industri sukan badminton yang mana pemain-pemain muda ini juga boleh menjadikan sukan ini sebagai karier," katanya pada sidang media, Rabu.

Tengku Mahaleel berkata, seramai 14 orang pemain muda ( 8 perempuan, 6 lelaki) ditempatkan di Sekolah Sukan Bukit Jalil selama seminggu bagi menjalani latihan di sini.

Selain pertukaran pemain, jurulatih yang terlibat juga akan turut berbincang serta berkongi pengetahuan mengenai sains sukan.

Pada Januari 2014, pemain-pemain BAM pula akan berkunjung ke Korea bagi menjalani latihan di sana.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif BKA, Kim Joong Soo berkata, kerjasama ini merupakan satu peluang baik kepada dua-dua negara.

Joong Soo yang juga bekas ketua jurulatih Korea selama sepuluh tahun ini mengakui bahawa sekiranya kerjasama ini berjaya, ia mustahil suatu hari nanti pemain-pemain Malaysia dan Korea akan bersaing untuk menjadi juara dunia.

Artikel Lain